Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerjalanan ibadah haji bagi jemaah haji tanah air tahun 2025 bakal melabuhkan tirai. Penerbangan pulang ke tanah air akan bermula pada 14 Jun 2025, manakala penerbangan terakhir jemaah Malaysia dijadualkan pada 10 Julai 2025.
Menariknya pada tahun ini, Malaysia mendapat anugerah tertinggi, iaitu Diamond Award Labbaittom oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi kategori pengurusan jemaah haji terbaik di dunia, selain berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam bidang pengurusan jemaah haji untuk empat tahun berturut-turut. Penghormatan sebegini pastinya hasil daripada kesungguhan petugas serta jemaah haji dari negara kita yang telah menunjukkan disiplin dan sikap yang terpuji ketika melaksanakan manasik ibadah haji bagi melengkapkan rukun Islam yang kelima ini.
Di sebalik kegembiraan ketika pulang ke tanah air dan bertemu ahli keluarga, terdapat beberapa perkara yang perlu dijadikan pedoman dan iktibar buat mereka yang telah bergelar haji dan hajah. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap jemaah haji pastinya mengimpikan ganjaran syurga daripada Allah SWT serta mengharapkan ibadah haji yang telah dilaksanakan diterima oleh-Nya. Hal ini juga penting agar manifestasi haji yang mabrur daripada pelaksanaan kerja haji yang dijalankan menjadikan keperibadian insan lebih baik daripada sebelumnya.
Pertama, kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Bermula saat melakukan pendaftaran, setiap jemaah pasti mendoakan agar diri mereka terpilih bagi menunaikan ibadah haji dengan sempurna. Hasil daripada usaha dan doa yang berterusan, setiap rukun haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Sifat sentiasa bertawakal kepada Allah SWT setelah berusaha melaksanakan sesuatu perkara yang dijalankan haruslah sentiasa disemai dalam kehidupan. Impaknya, perasaan rendah diri dan tidak sombong dengan nikmat yang dikurniakan oleh Ilahi akan terpancar dalam ibadah seharian.
Kedua, berterusan melaksanakan amalan mahmudah dalam kehidupan seharian. Ketika berada di dua tanah suci, iaitu Makkah dan Madinah, lazimnya para jemaah haji akan mengamalkan solat berjemaah, memperbanyak sedekah, meningkatkan amalan sunat, berkata dengan perkataan yang baik, sentiasa bersabar, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri. Oleh itu, momentum ini seharusnya dikekalkan bukan sahaja sewaktu melaksanakan ibadah haji semata-mata, namun perlu diteruskan sampai bila-bila.
Ketiga, mengambil pengajaran daripada pengalaman kerja haji dalam kehidupan seharian. Pastinya sepanjang sebulan lebih berada di tanah suci, para jemaah haji mendapat pelbagai pengalaman berharga ketika bertemu dengan jutaan manusia dari seluruh dunia. Contohnya bersesak untuk ke masjid, beratur lama bagi mendapatkan giliran ke tandas, serta berhadapan dengan berbagai-bagai ragam manusia.
Hal tersebut sedikit banyak menimbulkan keinsafan kepada para jemaah. Melihat sendiri terdapat dalam kalangan jemaah yang uzur dan tidak sihat, menimbulkan keinsafan betapa besarnya nikmat kesihatan. Oleh itu, sentiasalah menanamkan sifat syukur dalam kehidupan.
Seterusnya, mengambil ibrah daripada peristiwa yang pernah berlaku di lokasi ziarah dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Misalnya, ketika berkunjung di Jabal Thur yang menjadi tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW bersama-sama Sayidina Abu Bakar, Jabal Nur yang terletak sejauh lima kilometer di utara Makkah yang di sekelilingnya terdapat sejumlah gunung, bukit batu dan jurang yang menempatkan Gua Hira’, kawasan Hudaibiyah, Bukit Uhud dan pelbagai destinasi bersejarah yang memperlihatkan kesungguhan dan kesukaran yang ditempuhi Baginda dan para sahabat untuk mendaulatkan syiar Islam di muka bumi.
Satu daripada perkara yang sering kita terlepas pandang adalah untuk memastikan kesinambungan amalan murni yang diamalkan sebelum menunaikan haji.
Antara nilai yang wajar diamalkan termasuklah berjimat cermat dan membuat simpanan, mendalami ilmu pengetahuan serta menjaga kesihatan. Nilai ini sewajarnya terus disemai walaupun selepas menunaikan ibadah haji, seperti mengelakkan pembaziran, sentiasa bersemangat untuk memperkukuh ilmu agama, dan mengamalkan gaya hidup sihat. Usaha ini bukan sahaja memberikan kesan positif terhadap pembentukan sahsiah individu, malah menyumbang kepada kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Semoga setiap daripada kita sentiasa mengambil peluang untuk bermuhasabah diri, sama ada telah menunaikan haji ataupun masih menanti seruan Ilahi. Jadikanlah pengalaman ibadah haji sebagai inspirasi untuk terus memperbaik diri dan mendekatkan hati kepada Allah SWT. Dengan keikhlasan dan ketulusan amal, mudah-mudahan kita dikurniakan kebaikan hidup dan akhirnya ditempatkan di syurga-Nya yang abadi. Insya-Allah.
Penulis merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Universiti Sains Malaysia dan pembimbing ibadah haji dan umrah.