Oleh Syaza Wardina
14 Disember 2023, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Mesyuarat MAIPs yang keenam bagi tahun 2023, baru-baru ini.

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jika kita mengimpikan organisasi kita dibudayakan dengan nilai-nilai seperti integriti, jujur dan amanah, maka hal yang demikian perlu bermula daripada peringkat atasan.

Tambah baginda, pihak atasan dan pentadbir sendiri perlu menghidupkan dan menyuburkan nilai-nilai tersebut dalam setiap keputusan, tindak-tanduk dan langkah yang diambil.

“Oleh sebab dunia pada hari ini sentiasa berubah dan kian mencabar, maka para pemimpin organisasi juga perlu lebih terkehadapan dengan sentiasa memperbaharui ilmu mereka dan kemahiran agar memberikan impak yang positif kepada organisasi, kakitangan, pelanggan, agama, bangsa dan juga Ummah,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Mesyuarat MAIPs yang keenam bagi tahun 2023, baru-baru ini.

Keberangkatan baginda ke mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) Perlis di Bangunan Wisma MAIPs, Kompleks Desa Siswa Uniciti Alam, Sungai Chuchoh, Padang Besar tersebut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, “Kemahiran kepimpinan yang baik memerlukan seseorang pemimpin menggerakkan kesemua ahli kumpulannya ke satu arah yang positif seperti yang telah ditetapkan dalam strategi organisasi.

Hal ini termasuklah menanam nilai-nilai mulia organisasi yang mencorakkan budaya kerja yang hebat.”

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, “Seorang pemimpin itu juga perlulah memenangi hati dan perasaan ahli kumpulannya dan perlu dihormati berdasarkan pencapaian dan mutu kepimpinan yang diserlahkan.

Pada masa yang sama, pemimpin juga perlu mempercayai dan menyerlahkan nilai-nilai yang baik yang tentunya akan diperhatikan dan ditiru oleh para pekhidmatnya,” jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra.


Foto: Ihsan MAIPs

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.