Oleh Syaza Wardina
19 Jun 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Mahkamah Syariah Negeri Perlis bakal melaksanakan sesi perbicaraan secara tertutup bagi kes-kes perceraian dan akan dijalankan secara terhad antara pihak yang berkhilaf sahaja, bermula pada 1 Julai 2023.

Keputusan berkenaan dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Tuan Haji Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs).

Keputusan berkenaan dibuat bagi menjaga aib antara pihak yang terlibat terutamanya yang melibatkan kes-kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur ghibah dan bahkan membawa kepada fitnah.

Menurut Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, pelaksanaan berkenaan dibuat hasil daripada penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar, melalui pengalaman Program Safar Ilmu MAIPs terdahulu serta telah dilaksanakan kajian mendalam terhadap kesannya sebelum diimplementasikan di Perlis.

Titah perkenan berkenaan telah dizahirkan ketika Program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena dengan cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Mohd Shukri Ramli.

Dalam hubungan ini, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut memaklumkan bahawa Islam menegaskan kewajipan menutup aib peribadi yang tiada kepentingan untuk diketahui dan diulas oleh pihak lain apatah lagi pada zaman ini yang memperlihatkan isu-isu peribadi mudah dimanipulasikan.

Menurut Profesor Dr. Mohd Asri, masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, padahal tiada kepentingan untuk mereka tahu apatah lagi memberikan komentar.

“Hal itu akan melibatkan bukan sahaja pihak yang terlibat secara langsung tetapi maruah ahli keluarga yang lain. Kita tidak mahu mahkamah syariah yang bertujuan untuk menegakkan syariah menjadi punca pelanggaran syariah dan dosa dalam masyarakat,” tambah beliau.

Pada majlis berkenaan, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan buku Memahami Akidah Ahli al-Sunnah Wa al-Jamaah Berdasarkan Manhaj Salaf karya Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Profesor Dr. Basri Ibrahim yang juga merupakan Profesor di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan buku Memahami Akidah Ahli al-Sunnah Wa al-Jamaah Berdasarkan Manhaj Salaf ketika Program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena dengan cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis, semalam.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.