Oleh Syaza Wardina
27 Jun 2023, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Semua pihak sama ada masjid, surau yang berdaftar, jabatan atau agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perlis dibenarkan untuk mengelola dan menganjurkan ibadat korban, tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan ibadat korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan berikut:

  1. Rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta;
  2. Masjid atau surau berdaftar; dan
  3. Premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis.

“Semua penganjur yang mengurus ibadat korban perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban.”

“Kriteria tempat mestilah bersih dan tidak tercemar, serta tiada kacau ganggu,” titah baginda dalam kenyataan pada hari ini.

Selain itu, baginda turut mengingatkan seluruh rakyat agar menggunakan kesempatan Aidiladha untuk bermuhasabah diri, memperbanyak amalan soleh, berpuasa pada hari-hari sebelumnya serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah SWT kepada kita.

“Semoga segala ibadat korban yang dilaksanakan akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azzawajalla,” titah baginda.

 

Foto: Ihsan MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.