Oleh Rasoul Manan
21 Oktober 2023, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Phnom Penh – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Mufti Cambodia (Kemboja), Oknha Haji Kamaruddin Yusof di ibu pejabat Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Cambodia yang beroperasi di Khan Russey Keo, Phnom Penh.

Untuk rekod, hubungan antara komuniti Islam di Cambodia dengan Perlis telah bermula puluhan tahun lalu semenjak era bekas Mufti Perlis lagi, iaitu ketika Allahyarham Datuk Alim Panglima Haji Mat Jahya Haji Hussin masih berkhidmat dari tahun 1984 sehingga 2006.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengadakan pertemuan dengan Mufti Cambodia (Kemboja), Oknha Haji Kamaruddin Yusof. Turut kelihatan Mufti Perlis, Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (kiri hujung).

Lantas, terdapat lebih daripada 45 orang pelajar yang berasal dari Cambodia pernah belajar di beberapa buah institusi pendidikan di Perlis seperti Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiah (MATRI).

Para pelajar ini menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan menyambung pembelajaran di peringkat diploma dalam pelbagai bidang pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).

Setelah mereka menjadi alumni, mereka mula bergerak  aktif dalam pelbagai lapangan pendidikan dan pengurusan Islam di Cambodia.

Sebelum itu, keberangkatan baginda disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim lalu memulakan lawatan khas dengan tujuan bagi merasmikan sebuah masjid sumbangan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia dengan kerjasama MAIPs di Choy Metrey.

Antara yang mengiringi sama Tuanku Raja Muda dalam pertemuan ini adalah Mufti Perlis, Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle bagi membincangkan beberapa kerjasama dua hala termasuklah dalam bidang pendidikan dan pengurusan hal ehwal Islam.

Delegasi yang diketuai oleh Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengadakan lawatan khas dengan tujuan bagi merasmikan sebuah masjid sumbangan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia dengan kerjasama MAIPs di Choy Metrey.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.