16 April 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Koh Yao, Satun – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan RM50 ribu yang akan memanfaatkan umat Islam di Wilayah Satun, Thailand.

Sebanyak RM20 ribu diperuntukkan untuk tujuan membaik pulih Masjid Pulau Panjang, RM20 ribu bagi dana pembangunan Kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Satun, RM5 ribu bagi tujuan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan Masjid Puju Satun, dan RM5 ribu lagi untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan Masjid Tanjung Gabus, Satun.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs dalam Program Ziarah Mahabbah MAIPs 2023 ke Koh Yao yang juga dikenali sebagai Pulau Panjang di Wilayah Satun, Thailand, pada petang semalam.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah dalam Program Ziarah Mahabbah di Koh Yao, Wilayah Satun.

Baginda bertitah mengingatkan penduduk dua buah negara berjiran, iaitu Malaysia dan Thailand agar terus bersatu padu, bekerjasama dan menjalinkan hubungan silaturahim yang baik terutamanya bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Titah baginda, “Ibadat puasa mempunyai peranan yang penting bagi memupuk persaudaraan antara manusia.

“Menerusi ibadat ini, umat Islam diajar sifat berkasih sayang dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

“Saban tahun program Ziarah Mahabbah ini diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim dan keakraban, terutamannya antara yang beragama Islam dengan bukan Islam serta merupakan amalan yang amat dituntut di dalam agama Islam,” titah baginda.

Turut disampaikan sumbangan kuih raya daripada Kerajaan Negeri Perlis dan MAIPs kepada para petugas sempadan Perlis di sebelah Thailand dan penduduk Pulau Panjang.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyampaikan sumbangan kepada penduduk Pulau Panjang.

Berangkat sama ke program tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Timbalan Gabenor Wilayah Satun yang menjalankan tugas-tugas Gabenor, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Satun dan para pemimpin setempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.