Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM8000 sempena dengan Program Hijrah Minda Bilangan 2 Bagi Tahun 2023. Penyerahan sumbangan tersebut melibatkan sebanyak 20 orang asnaf yang terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Shahrani, Behor Lateh, Kangar, yang menerima sebanyak RM400 setiap seorang.
DYTM Raja Muda Perlis menitahkan, sebagai sebuah negeri ilmu, MAIPs akan turut memainkan peranan dalam menjayakan misi pendidikan negeri dan juga negara. Baginda mengulangi komitmen bahawa MAIPs akan terus prihatin tentang perkembangan dan keperluan pendidikan khasnya di sekolah agama rakyat di negeri Perlis ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs juga berharap agar guru-guru akan terus mencetuskan perubahan dan menjadi golongan yang berimpak tinggi dalam masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana sesungguhnya peranan guru sebagai murabbi ummah sangat mustahak dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu.
Pada majlis tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan model (mock) kunci pintu sebuah rumah baharu sumbangan MAIPs kepada Haslinda Mohamad atas cadangan Jawatankuasa Kariah masjid berkenaan.
Usai program berkenaan, baginda menyantuni rumah asnaf berusia 84 tahun, Dahaman Mohamad, yang merupakan orang kurang upaya. Dahaman yang tinggal seorang diri di Kampung Behor Lateh menerima sumbangan agihan zakat MAIPs.