Oleh Syaza Wardina
21 Mac 2023, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Pekerjaan juga merupakan ibadat atau satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT, titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda menjelaskan, ibadat dalam Islam tidak hanya tertumpu kepada amalan-amalan seperti bersolat, berpuasa, berzikir, berzakat, dan menunaikan haji semata-mata, bahkan termasuk siasah, mengurus, menjaga dan mentadbir negeri serta negara.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Terpilih dan Anugerah Keterampilan Agensi Bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bagi Tahun 2022, di Bukit Chabang Mari, pagi tadi.

DYTM Raja Muda Perlis bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Terpilih (APT) dan Anugerah Keterampilan Agensi Bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi Tahun 2022 yang diadakan di Bukit Chabang Mari, pada pagi tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Yang Amat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda bertitah, “Tidak kira siapa-siapa pun kita, gerak-geri dan kerja kita haruslah berteraskan amalan soleh yang seimbang atau seiring antara duniawi dengan ukhrawi, rohani dan juga jasmani.”

Bekerja juga merupakan antara tuntutan dan kewajipan kepada umat Islam bagi meningkatkan lagi ekonomi diri, keluarga, ummah, negeri dan negara melalui upah atau gaji yang diperoleh.

“Dalam Islam juga telah digariskan beberapa perkara yang mesti ada dalam diri seseorang individu Muslim ketika melaksanakan pekerjaan untuk mendapatkan rezeki yang halal, berkat serta diredai oleh Allah SWT,” titah baginda.

Pada majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs menyeru semua pekhidmat MAIPs untuk bersama-sama kembali membetulkan niat dan tujuan bekerja, serta meneruskan prestasi cemerlang, usaha dan komitmen padu bagi mengekalkan momentum penghasilan kerja yang produktif dan progresif.

Majlis tersebut melibatkan para penerima terpilih daripada MAIPs sendiri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis dan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis.

Setiap agensi menerima empat Anugerah Perkhidmatan Keterampilan dan tiga atau empat Anugerah Perkhidmatan Terpilih yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.