2 Ogos 2023, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhammad Husni bin Mohd Amin

Bulan Muharam mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Keberangkatan hijrah oleh Nabi Muhammad SAW menandakan permulaan kalendar Islam yang di dalamnya berlaku peristiwa penuh bersejarah dan bermakna.

Peristiwa hijrah tersebut telah mengubah peta dunia dengan berdirinya kota Madinah. Menurut pemikir ulung masa ini, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya, Islam and Secularism (1978) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (2001), Madinah ialah tempat orang Islam melaksanakan al-din, iaitu tuntutan agama.

Madinah seterusnya menjadi model tamadun yang daripadanya bangkit peradaban madani seperti Umawiyah, Abbasiyah, Saljuqiyah, Mamlukiyah, Timuriyah, Uthmaniyah, Sokoto dan kesultanan di alam Melayu. Bahkan, menurut tokoh sarjana perundangan Islam, Almarhum Profesor Muhammad Hamidullah (1908 – 2002), Piagam Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW merupakan contoh asas perlembagaan negara bangsa pada zaman moden.

Hijrah berasal daripada akar kata hajara yang membawa beberapa maksud utama. Berdasarkan kamus mu‘jam seperti Kitab al-‘Ain oleh al-Farahidi dan Sihah al-Arabiyyah oleh al-Jauhari, hijrah dari sudut bahasa bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

Hajara juga bermaksud memutuskan pertalian, persaudaraan, persahabatan, kasih sayang, atau apa-apa jua hubungan dengan seseorang. Allah SWT mengajarkan dalam al-Quran bahawa satu daripada kaedah menghadapi pasangan yang nusyuz, iaitu ingkar atau memberontak daripada ketaatan dalam agama, setelah menasihatinya adalah dengan memutuskan hubungan kelamin buat sementara waktu sebelum mendisiplinkannya sehinggalah dia kembali melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab (Surah al-Nisa’ 4:34).

Penghijrahan Rasulullah SAW ke kota Madinah merupakan detik bermulanya pembinaan tamadun dalam sejarah Islam.

Dalam temu bual bersama-sama Profesor al-Attas, beliau yang mengupas makna al-din merujuk peristiwa besar hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke kota Yathrib (yang kemudian dinamakan dengan Madinah) berpendapat bahawa hijrah bermaksud “meninggalkan adat resam atau kebiasaan semasa di tempat dahulu itu”.

Menurut Profesor al-Attas lagi, dari sudut pandangan Islam, hijrah bermaksud memutuskan pertalian daripada “adat yang karut, salah atau tidak baik” hasil kebudayaan ciptaan manusia untuk berpindah kepada adat kebiasaan yang berlaku kepada para anbiya berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT dan al-ma‘ruf (perkara baik). Hal ini menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang berhijrah ialah barang siapa yang meninggalkan apa-apa jua yang Allah larang ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menurut sejarawan Islam, iaitu Imam al-Tabari (meninggal 923M) dalam Ta’rikhnya, leluhur Rasulullah SAW, iaitu Hajar berpindah dari tempat asalnya di Hawwaris, Mesir purba, untuk mengikuti suaminya, Nabi Ibrahim a.s. dan isteri pertama baginda, Sarah bagi menyelamatkan diri mereka daripada penguasa Hawwaris yang berkelakuan jahat sekali gus pulang ke Shechem (kini kota Nablus di Palestin). Setelah melahirkan Ismail, Hajar kemudiannya mengikut Nabi Ibrahim a.s. ke Hijaz (kini Makkah) di Semenanjung Tanah Arab untuk ditinggalkan menetap di sana bersama-sama puteranya yang masih kecil atas perintah Allah SWT.

Sungguhpun seluruh perjalanan yang dilakukan oleh Hajar itu tidak dipanggil hijrah, namun hal tersebut berlaku berasaskan wahyu dan perkara baik. Hasil perjalanan itulah Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail a.s. menjadi pencetus golongan hunafa’ yang lurus menegakkan agama sekali gus susur galur Nabi Muhammad SAW.

Apabila diamati sirah tentang hijrah Rasulullah SAW dari Makkah, iaitu kota kelahirannya ke Madinah, iaitu tempat yang pernah disinggahi oleh Baginda semasa kecil bersama-sama bondanya, Aminah, tiga perkara saling berkaitan wajar diberikan perhatian yang khusus. Pertama, tindakan golongan musyrikin Quraisy yang memulaukan Bani Hashim, iaitu keluarga besar Rasulullah SAW, di samping berkelakuan jahat dengan menzalimi, menekan, menindas dan menyeksa orang yang baru memeluk Islam, telah mewujudkan satu adat yang karut, salah dan tidak baik.

Tambahan pula, kewafatan bapa saudara Rasulullah SAW, iaitu Abu Talib dan isteri Baginda, Khadijah r.a. yang merupakan tonggak besar yang melindungi dan menyokong Baginda semasa berdakwah kepada kaum Quraisy, telah menyebabkan orang musyrikin begitu berani sehingga mengancam nyawa Baginda dengan pengutusan beberapa orang untuk membunuhnya.

Kedua, penerimaan kaum Ansar yang terdiri daripada Bani Aus dan Khazraj terhadap syarat yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Aqabah pada 621M untuk melantik Baginda sebagai ketua mereka di Madinah. Antaranya termasuklah menerima autoriti Baginda sebagai nabi dan rasul, tidak menyembah selain daripada Allah SWT, serta berhenti daripada memfitnah, mencuri, berzina dan lain-lain amalan yang buruk. Hal ini menjadi petanda bahawa masyarakat majmuk Madinah bersedia untuk berhijrah dan pada masa yang sama membentuk perpaduan bersama-sama orang yang berhijrah, iaitu golongan muhajirin.

Ketiga, meskipun sebab pertama dan kedua tersebut boleh dianggap memadai bagi sesiapa untuk berpindah atau melarikan diri daripada tempat asalnya, namun bagi Rasulullah SAW, hal tersebut masih belum cukup untuk membolehkannya berbuat demikian. Baginda memulakan perjalanan hanya setelah mendapat kebenaran Allah SWT, oleh itu hijrah baginda adalah atas asas wahyu dan al-ma‘ruf.

Hijrah membuka jalan kepada adat yang benar, betul dan baik. Demi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum, pemilihan pemimpin yang baik boleh dikaitkan dengan penjelasan akar kata hajara, iaitu setiap orang dalam masyarakat mesti memutuskan pertalian dengan kebiasaan amalan yang buruk lagi jahat seperti menipu dan mengkhianati amanah.

Hal ini kerana setiap orang sekurang-kurangnya menjadi pemimpin yang memimpin kerajaan dirinya sendiri, kemudian keluarganya, masyarakat setempatnya, sehinggalah ada yang dipilih menjadi wakil rakyat, seterusnya pemimpin dan ketua dalam negara.

Menurut hukum akal, tidak ada dalam sesebuah masyarakat yang anggotanya bergelumang dengan dosa kejahatan seperti menipu timbangan dalam urus niaga, membiarkan perbuatan sumbang di tempat awam, dan menyeleweng dana yang diamanahkan, akan berpakat melantik seorang pemimpin yang sentiasa bercakap benar, tegas mengawal nafsunya sendiri, dan berpegang teguh pada amanah.

Begitu juga sebaliknya, mustahil bagi sesebuah masyarakat yang anggotanya sentiasa melakukan amalan kebaikan seperti menimbang dengan adil dan saksama, menghindarkan kerosakan akhlak sesama mereka, dan berjaga-jaga mengekang penyelewengan, akan bersetuju untuk melantik seorang pemimpin yang kerap berbohong, bernafsu liar lagi serakah, dan sering mengkhianati amanah.

Kesimpulannya, memahami Islam melalui pandangan alam sebagai al-din, Madinah sebagai tempat al-din dilaksanakan, dan tamadun sebagai penjelmaan binaan yang menyokong kehidupan beragama menjadikan hal tersebut bukan ritual semata-mata, bahkan peradaban yang menuntut kebersamaan dan perpaduan masyarakat berakhlak dalam pelaksanaan rukun agama.

Sejarah peradaban Islam yang gemilang selama 1445 tahun tidak mungkin dapat berlaku tanpa hijrah yang dilakukan oleh sosok mulia lagi agung, Rasulullah SAW. Menghayati dengan menyeluruh hijrah dan perpaduan berasaskan agama berupaya mengembangkan peradaban madani yang sebenar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.