5 Januari 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai manusia, makanlah daripada makanan yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah 2:168).

Makanan ialah keperluan asas bagi kelangsungan hidup manusia. Makanan yang halal, bersih, baik dan selamat amat mempengaruhi kesejahteraan hidup dan kesihatan tubuh manusia. Pencemaran makanan merangkumi makanan yang tercemar dengan bahan asing berbentuk fizikal, biologi atau kimia. Pencemaran makanan berlaku apabila makanan tidak dimasak dengan betul, disimpan atau ditangani dengan cara yang tidak bersih, sehingga dijangkiti bakteria, virus dan kuman atau terdedah kepada bahan toksik. Makanan yang tercemar boleh menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit.

Antara faktor berlakunya pencemaran makanan adalah kerana tidak menjaga kebersihan, membiarkan makanan dihinggapi serangga perosak, terdedah kepada cicak, lipas dan tikus, menyimpan makanan di tempat atau pada suhu yang tidak sesuai, tidak membasuh bahan makanan dengan baik, tidak peka terhadap tempoh luput, dan bencana alam seperti banjir. Pencemaran makanan menjadi punca kepada pelbagai penyakit, dan yang paling sering berlaku ialah keracunan makanan. Pesakit akan menghidapi kolera (taun), cirit-birit, muntah, sakit perut, sakit kepala dan demam berlarutan yang mendatangkan mudarat kepada tubuh. Lebih parah daripada itu makanan yang tercemar turut dikenal pasti sebagai satu daripada penyebab kepada penyakit kanser.

Rekod Jabatan Kesihatan Negeri Perak mencatatkan 48 kes keracunan makanan dilaporkan berlaku antara Januari sehingga Disember 2023, membabitkan 2224 orang pesakit. Perangkaan tersebut menunjukkan peningkatan 29 peratus berbanding dengan kes keracunan makanan yang berlaku pada tahun 2022. Sebanyak 24 kes atau 50 peratus kes keracunan makanan berlaku di institusi pendidikan, sementara tujuh kes melibatkan premis makanan, enam kes membabitkan kediaman persendirian dan baki 11 kes dalam pelbagai kategori lain.

Bagi memastikan kualiti makanan terpelihara, proses mengendalikan makanan pada setiap peringkat rantaian mesti diurus secara baik mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan; iaitu bermula daripada kerja pengeluaran sama ada di ladang, kilang atau restoran, disusuli dengan proses menyimpan, membungkus, menghantar dan memasarkan, sehingga peringkat menyedia, memasak dan menghidangkan. Pada setiap peringkat amatlah penting dipastikan makanan tidak tercemar dan tidak dijangkiti oleh bakteria, virus, kuman dan bahan toksik yang membahayakan kesihatan.

Makanan yang dijual hendaklah dipastikan tidak tercemar dan tidak dijangkiti oleh bakteria, virus, kuman dan bahan toksik yang membahayakan kesihatan.

Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan telah menjalankan pelbagai kempen kesedaran mahupun program berkaitan pencemaran makanan. Kesedaran, kepedulian dan kesungguhan pelbagai pihak, berperanan penting untuk memastikan makanan tidak tercemar. Umat Islam turut mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memastikan diri dan ahli keluarga mendapat makanan yang selamat dan tidak tercemar. Pihak pengusaha dan pengendali makanan wajib mematuhi segala peraturan di bawah Akta Makanan 1983 sebelum sesuatu produk makanan dipasarkan atau dihidangkan agar kesihatan pengguna terjamin dilindungi.

Ayat 168 Surah al-Baqarah tersebut menunjukkan perintah Allah SWT kepada seluruh manusia untuk mencari dan mendapatkan makanan daripada sumber yang halal dan baik. Istilah halalan tayyiban bermaksud halal lagi bersih, suci dan diyakini; bukan sekadar memastikan kebersihan luaran, malah wajib diberikan perhatian kebersihan bahan, proses pembuatan, penghasilan dan keselamatan menggunakannya. Pada masa yang sama, umat Islam diperingatkan agar mencari makanan yang sahih halal, menjauhi makanan yang diharamkan, juga menjauhi makanan yang diragui atau samar-samar taraf halalnya. Baginda SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah maka dibimbangkan terjerumus ke dalam perkara haram.”

(Hadis riwayat Muslim)

Islam amat menitikberatkan soal makanan, terbukti apabila amalan memberi makan kepada fakir miskin, memberi makan kepada orang berpuasa, memberikan agihan daging korban, merupakan ibadat sunat yang dituntut; akan tetapi tidak sempurna pelaksanaannya melainkan makanan yang diberikan berada dalam keadaan segar, bersih dan berkualiti baik. Banyak hikmah yang terkandung melalui makanan yang bersih dan halal, antaranya termasuklah tubuh menjadi sihat dan bertenaga, mudah melakukan ibadat, menghasilkan hati nurani yang bersih, akal menjadi cerdas dan doa diperkenankan oleh Allah SWT.

Pencemaran makanan menjadi punca kepada pelbagai penyakit, dan yang paling sering berlaku ialah keracunan makanan.

Oleh itu, umat Islam diberikan peringatan yang berikut:

Pertama: Pembekal makanan di institusi pendidikan, majlis perkahwinan, kantin dan pengamal industri makanan bertanggungjawab memastikan makanan diurus secara bersih dari awal penyediaan hingga akhir. Lakukan kerja dengan cermat dan elakkan amalan yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Kedua: Para pengusaha, pengendali dan peniaga makanan wajib mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan atau kerajaan tempatan dengan memastikan produk atau bahan makanan yang dihasilkan dan dijual halal, bersih dan selamat. Digalakkan membuat permohonan pensijilan halal daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri.

Ketiga: Para petugas yang menyediakan dan menghidangkan makanan wajib menjaga kebersihan diri dengan memastikan tangan dicuci bersih sebelum dan selepas menyediakan makanan atau ketika menghidangkan makanan. Memastikan makanan dan hidangan sentiasa disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada lalat, cicak, lipas, tikus dan serangga perosak.

Keempat: Umat Islam harus bijak memilih premis makanan yang mengamalkan sistem pengurusan makanan yang baik lagi bersih. Beri perhatian pada setiap tempat makan yang dikunjungi seperti restoran, kawasan Rehat dan Rawat, warung dan gerai di pinggir jalan, begitu juga ketika berada di luar negara. Utamakan premis makanan yang diiktiraf kualiti kebersihannya serta mengamalkan sistem pengurusan makanan yang baik, serta memiliki bekalan air bersih untuk memastikan pinggan, mangkuk, cawan dan gelas dibasuh dengan air lalu dan bukan air yang dikitari semula.

Para petugas yang menyediakan makanan wajib menjaga kebersihan diri dengan memastikan tangan dicuci bersih sebelum dan selepas menyediakan makanan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbing kami dalam urusan mendapatkan makanan yang halal, bersih dan selamat. Pelihara kami serta ahli keluarga daripada sebarang penyakit berpunca pembawaan makanan. Jadikan makanan yang kami makan asbab kami semakin gemar dan mudah melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredaan-Mu

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 5 Januari 2024, bertajuk, “Pencemaran Makanan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.