5 Disember 2023, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Doa merujuk komunikasi antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Doa merupakan satu bentuk ibadat apabila seseorang Muslim meminta pertolongan, keampunan, perlindungan serta mengungkapkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan hati yang tulus dan ikhlas. Doa turut dikatakan senjata bagi orang Mukmin, malahan doa orang yang teraniaya sangat mustajab dan doa juga dapat mendekatkan hati dengan Allah SWT.

Allah SWT juga menyebutkan perihal galakan kepada setiap hamba-Nya untuk memohon pertolongan daripada-Nya dalam Surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud,

Dan Tuhanmu berfirman: ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk ke neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.’

 

Doa Mendekatkan Diri dengan Pencipta

Doa menurut Imam al-Khattabi ialah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongannya dan juga bantuan daripada-Nya. Imam al-Ghazali mengatakan bahawa doa merupakan satu daripada senjata orang beriman untuk menolak bala. Doa ialah keutamaan nilai ibadat yang efektif untuk menolak atau setidak-tidaknya mengurangkan bala yang ditentukan oleh Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian seseorang Muslim bermula dengan amalan bangun tidur, membersihkan diri, mengenakan pakaian sehinggalah keluar dari rumah, terdapat doa-doa yang ditetapkan agar setiap langkah kita diberkati oleh Allah SWT. Sebagai Muslim, seseorang haruslah berdoa dengan penuh beradab. Hal ini dikatakan demikian kerana sewaktu memohon pertolongan daripada Allah SWT, adab mencerminkan bahawa seseorang itu memohon dengan rasa rendah hati, tunduk dan patuh kepada-Nya. Antara adab yang boleh dipraktikkan ketika berdoa termasuklah:

  1. Menghadap ke arah kiblat dengan mengangkat kedua-dua belah tangan dan mengusapnya ke wajah setelah selesai berdoa.
  2. Khusyuk ketika berdoa dan seboleh-bolehnya melupakan sebentar hal keduniaan.
  3. Memulakan doa dengan berselawat kepada Rasulullah SAW, kemudian menutup doa juga dengan memuji Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW.
  4. Tidak tergesa-gesa ketika berdoa, serta berdoalah dengan penuh penghayatan.
Doa hendaklah dipanjatkan kepada Allah SWT dengan penuh adab, seiring dengan kepatuhan dan kerendahan hati.

Setiap Muslim dianjurkan untuk berdoa kerana kesannya besar terhadap apa-apa yang akan berlaku dalam kehidupan. Ustazah Asma’ Harun dalam forum Syariah Ladies Night yang dianjurkan oleh Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia berkata, jika mahu permintaan dimakbulkan oleh Allah SWT, hendaklah seseorang melakukan tiga perkara. Yang pertama adalah dengan berdoa. Kedua, taat kepada Allah dengan melakukan seluruh perintahnya dan menjauhi larangannya dan yang ketiga, yakin dengan setiap doa yang diminta serta meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah SWT.

 

Takdir yang Telah Ditetapkan

Berbicara soal takdir sangat berkait rapat dengan doa sehinggakan ada doa yang dititipkan kepada Allah SWT dapat mengubah takdir seseorang. Takdir merujuk keyakinan seseorang terhadap segala sesuatu yang terjadi di dunia ini termasuk kehidupan seseorang sejak alam rahim. Dalam hadis riwayat Muslim dinyatakan bahawa pembentukan manusia dalam rahim ibunya, pertama kalinya diciptakan daripada air mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari juga, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh dan diperintahkan untuk menetapkan empat perkara, iaitu rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Shams ayat 8 yang bermaksud, “Serta (Allah SWT) mengilhamkannya, iaitu manusia (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada takwa.” Berdasarkan ayat ini, dijelaskan bahawa Allah SWT memberikan pilihan kepada hamba-Nya untuk memilih jalan yang dikehendakinya.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang perlu diketahui tentang takdir – qadak dan qadar. Qadak bermaksud apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT terhadap makhluknya dari segi urusan menciptakannya, meniadakannya atau mengubahnya. Qadar pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pertamanya, qadar mubram  (مبرم) dan qadar mu‘allaq  (معلق). Qadar yang bersifat mubram ialah qadar yang sudah tertulis di lohmahfuz atau sudah muktamad dan tidak boleh diubah, dikurangkan atau diberikan sebarang penambahan. Qadar mu‘allaq pula bersifat tetap dan boleh juga diubah serta bergantung pada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia melalui doa yang tidak pernah berubah.

Antara doa dengan takdir, kedua-keduanya sama kuat. Takdir ialah kehendak Allah, manakala doa ialah kehendak kita. Kadangkala Allah mengubah kehendak-Nya untuk mengabulkan permohonan kita. Dalam hal ini, doa berperanan sebagai usaha seseorang untuk meraih sesuatu yang diinginkan. Takdir pula sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka itu, setiap Muslim haruslah berdoa kerana dengan berdoa, Allah dapat mendengar permintaan kita sebagai hamba-Nya. Jangan pernah berhenti atau berasa bosan untuk berdoa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.