Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKemerdekaan dalam Islam membawa maksud bebas daripada penjajahan hati dan minda yang terkongkong oleh kejahilan. Maka itu, Islam menganjurkan umatnya supaya bebas daripada hutang, kejahilan, dosa besar dan maksiat yang boleh membawa kemurkaan Allah SWT, dan sentiasa hidup merdeka serta memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Melalui kemerdekaan akan terbentuk umat yang padu sebagai teras kemajuan negara. Hal ini akan melahirkan mukmin yang berjaya dalam kehidupan sama ada di dunia ataupun di akhirat, serta mukmin yang menjaga kehormatan dan maruah diri. Kedatangan Islam memberikan kemerdekaan kepada umat Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada orang yang lebih mulia di sisi Allah selain daripada seorang mukmin.” (Hadis riwayat al-Tabarani).
Sejarah Islam membuktikan bahawa sebelum kedatangan Islam, kedudukan politik orang Arab di Semenanjung Tanah Arab tidak stabil. Mereka hidup berkabilah dan berpindah randah, di bahagian pinggir utara dan selatan dikuasai oleh Byzantine dan Parsi yang berjaya membentuk kerajaan boneka.
Islam juga membawa kemerdekaan dan perubahan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, budaya dan ilmu pengetahuan kepada umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa al-Rasyidin hinggalah era selepasnya.
Pembinaan masyarakat Islam di Makkah, iaitu aktiviti dakwah berjaya dilakukan walaupun menghadapi tentangan daripada kaum Quraisy. Tentangan kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW tidak sedikit pun melemahkan Islam, malah bertambah kuat dan berpengaruh. Nabi Muhamad SAW telah mengatur strategi dan perancangan untuk mewujudkan sebuah negara Islam yang berdaulat.
Seterusnya, pembentukan ummah yang merdeka di kota Madinah merupakan titik tolak penyatuan umat Islam di seluruh dunia, dan menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan mereka. Oleh itu, dengan penyatuan umat Islam, mereka telah berjaya membentuk sebuah empayar besar dalam tempoh tidak sampai 100 tahun.
Selain itu, kemerdekaan juga dapat membentuk ummah yang menjaga kehormatan diri seperti mengelakkan pergaulan bebas dan perbuatan maksiat, menutup aurat dengan sempurna, dan menjaga maruah diri daripada perbuatan yang dilarang oleh Islam. Terdapat beberapa kepentingan menjaga kehormatan diri dan maruah. Antaranya termasuklah diri akan dihormati, maruah agama, negara dan diri akan terjaga, hidup menjadi aman dan tenteram, serta akan diberkati oleh Allah SWT.
Dalam konteks sebuah negara merdeka, kemerdekaan membawa maksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Merdeka juga dapat difahami sebagai lepas bebas daripada tebusan dan tuntutan, berdiri sendiri, dan tidak bergantung pada orang atau pihak lain. Kemerdekaan sesebuah negara menjadikan hidup lebih bebas dan sempurna dengan agama, adat dan budaya dapat dilaksanakan dengan baik.
Akan tetapi, tanpa perjuangan tidak akan ada kemerdekaan. Mengisi kemerdekaan lebih utama daripada usaha mencapai kemerdekaan. Maka itu, tanggungjawab rakyat terutamanya generasi muda Islam sangat penting dalam usaha mempertahankan kemerdekaan negara pada masa akan datang.
Nabi Muhammad SAW telah meletakkan batu asas yang kukuh dalam pemerintahan dan pentadbiran negara dengan memberikan contoh teladan yang baik untuk dijadikan panduan dan ikutan umat manusia. Baginda juga telah mengasaskan negara Islam di Madinah berteraskan wahyu yang telah diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi garis panduan tentang asas pemerintahan bagi seluruh manusia. Semua ini terdapat dalam kandungan Piagam Madinah.
Al-Quran menegaskan konsep keadilan dalam pemerintahan Islam kerana keadilan akan melahirkan kesetiaan rakyat kepada pemerintah. Keadilan yang dimaksudkan bukan merujuk rakyat biasa sahaja, tetapi juga golongan atasan dan pemerintah supaya berlaku adil dalam semua hal dan keadaan bagi mencetuskan keadilan dan kesejahteraan dalam sesebuah negara yang merdeka.
Oleh itu, untuk mempertahankan dan menegakkan kemerdekaan, setiap rakyat mestilah mempunyai kekuatan dalaman, iaitu penuh keyakinan dan zuhud, tidak kedekut dengan harta dan jiwa, serta mempunyai cita-cita yang kuat bagi mempertahankan kemerdekaan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Umat terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong.” (Hadis riwayat Abi al-Dunya).
Dalam sebuah negara yang merdeka, kita mestilah berusaha menyatupadukan ummah dan masyarakat ke arah perpaduan bagi kekuatan sesebuah negara supaya tidak mudah dijajah semula. Pengorbanan dengan tangan, harta dan jiwa akan menjadikan sesebuah negara itu terus kuat dan dapat mengekalkan kemerdekaan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang Muslim adalah yang menyelamatkan kaum Muslimin daripada lidah dan tangannya. Seorang Mukmin adalah yang dipercayai oleh kaum beriman terhadap jiwa dan harta mereka, dan seorang mujahir ialah orang yang berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan).” (Hadis riwayat Ahmad).
Berkaitan dengan masyarakat Islam yang kita idamkan, Profesor Dr. Yusof al-Qaradawi menyatakan bahawa kekuatan akidah dan keimanan, syariat dan ibadat, juga pemikiran dan pemahaman yang mendalam terhadap Islam akan dapat membentuk masyarakat Islam yang unggul.
Oleh itu, kemerdekaan akan dapat membentuk perasaan dan emosi yang stabil, akhlak dan kesopanan yang tinggi, adab dan budaya yang terpuji, dengan nilai-nilai kemanusiaan yang murni. Kemerdekaan juga akan membentuk persaudaraan, perasaan kasih sayang pada semua peringkat, tolong-menolong, bantu-membantu dan sayang- menyayangi dengan sifat persaudaraan yang utuh.
Menurutnya, kebebasan adalah antara nilai kemanusiaan yang diberikan perhatian oleh Islam. Kebebasan melalui kemerdekaan dapat melepaskan manusia daripada pelbagai bentuk tekanan, paksaan dan penghinaan, serta menjadikan manusia sebagai tuan di alam semesta dan hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.
Begitulah luasnya erti kemerdekaan yang patut difahami dan dihayati, iaitu memberikan kebebasan yang merangkumi kebebasan beragama dalam Islam, iaitu (kebebasan beriktikad dan melakukan ibadat), kebebasan berfikir, kebebasan berpolitik, kebeba san dalam undang-undang dan semua kebebasan yang hakiki.