30 Jun 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masjid merupakan rumah Allah yang paling istimewa di muka bumi ini. Istilah masjid berasal daripada bahasa Arab yang bererti tempat untuk bersujud. Dalam pengertian yang luas, seluruh hamparan bumi ini ialah masjid, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya: “Seluruh bumi ini dijadikan untukku sebagai masjid (tempat bersujud untuk solat) dan sebagai alat untuk bersuci.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam pengertian khusus, istilah masjid merujuk sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat ibadat bagi umat Islam. Keberadaan masjid dalam bentuk bangunan menjadi bukti tegaknya syiar Islam di sesuatu kawasan. Keberadaan masjid juga berperanan penting untuk membina dan membangunkan masyarakat Islam. Hal ini terbukti melalui tindakan Rasulullah SAW sebaik sahaja sampai ke Madinah, iaitu perkara pertama yang Baginda lakukan adalah dengan membina Masjid Quba. Masjid pada era kepimpinan Rasulullah SAW dan pada era kegemilangan Islam berperanan sebagai pusat yang membina kekuatan dan membangunkan tamadun ummah.

Sesebuah masjid tidak memenuhi erti yang sebenarnya jika hanya berbentuk sebuah bangunan tersergam indah, tetapi lesu, lengang, kosong dan kaku, kerana tidak dilengkapi dengan sebarang kegiatan. Masjid perlu disuntik dengan roh yang menghidupkan, diimarahkan dengan kehadiran makmum yang melimpah-ruah, beramai-ramai mendirikan solat secara berjemaah pada setiap waktu, serta dimakmurkan dengan pelbagai kegiatan keagamaan, keilmuan dan kemasyarakatan. Ummah perlu mengambil tanggungjawab dan berperanan aktif untuk mengimarahkan masjid. Mengimarahkan, memakmurkan dan menghidupkan masjid merupakan satu daripada bukti kebenaran iman dalam hati seseorang hamba.

Firman Allah SWT;

Maksudnya: “Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka diharapkan mereka termasuk dalam golongan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Surah al-Tawbah 9:18)

Rasulullah SAW bersabda bahawa satu daripada golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat kelak ialah seorang hamba yang hatinya selalu terpaut dengan masjid. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sesebuah masjid tidak memenuhi erti yang sebenarnya jika hanya berbentuk sebuah bangunan tersergam indah, tetapi lengang, kosong dan kaku tanpa sebarang kegiatan. (Gambar sekadar hiasan)

Masjid dan surau wajib diimarahkan agar dapat memenuhi peranan sebagai pusat yang membangunkan masyarakat. Penggunaan istilah “imarah” bermaksud membangunkan, menghidupkan, memakmurkan, memelihara, membersihkan, mendirikan solat, beriktikaf dan sebagainya. Pengimarahan masjid terbahagi kepada dua kategori, iaitu;

Pertama: Imarah secara fizikal atau zahir, iaitu membina, menjaga dan menyediakan kemudahan. Kini terdapat 627 buah masjid, 64 buah surau Jumaat dan 2064 buah surau yang berdaftar di negeri Perak. Kebanyakan masjid dan surau yang baharu dibina dengan cantik dan selesa, dilengkapi dengan sistem siar raya yang baik, paparan digital yang menarik dan semakin banyak yang dilengkapi dengan pendingin udara.

Kedua: Imarah secara rohani, iaitu secara pengisian kegiatan yang berjaya mendekatkan diri insan kepada Allah SWT, antaranya termasuklah melaksanakan ibadat wajib dan sunat seperti solat, membaca al-Quran, beriktikaf, menganjur dan mengikuti kegiatan pengajian dan keilmuan, juga kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan. Masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kegiatan pengisian yang dapat menarik minat anggota kariah. Kegagalan melakukan kegiatan tersebut akan menyebabkan masjid menjadi bangunan yang sepi, lengang dan kosong sebaik selesai solat fardu. Diperhatikan bahawa selain solat Jumaat, solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, jemaah yang menghadiri solat fardu masih kecil bilangannya; begitu juga bilangan kehadiran dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan. Gerakan meningkatkan syiar Islam di masjid masih kelihatan lesu dan kurang bertenaga, lantas gagal menarik minat penyertaan lebih ramai anggota masyarakat, terutama anak muda.

Kurang kehadiran jemaah semasa solat fardu, begitu juga dalam kegiatan keilmuan hendaklah dilihat sebagai satu cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana oleh mereka yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengurus masjid. Antara langkah yang perlu difikirkan termasuklah;

Pertama: Memperkenalkan dan mempelbagaikan program dan kegiatan yang berupaya menarik minat lebih ramai jemaah, terutama golongan remaja untuk ke masjid dan mengimarahkan masjid. Kini, diperhatikan semakin banyak masjid yang memperkenalkan kegiatan ekonomi, pertanian, penghasilan makanan, perniagaan, riadah, tadika, tuisyen, perpustakaan dan inap desa.

Kedua: Pengurusan masjid perlu memahami peranan masjid pada masa ini tidak hanya terhad sebagai tempat menghubungkan insan dengan Allah SWT, tetapi juga sebagai tempat menghubungkan manusia dengan manusia untuk membina budaya berteraskan Islam. Peranan masjid mencakupi segala aspek kehidupan masyarakat merangkumi akidah, syariah, akhlak, ekonomi, sosial, teknologi, kesenian, sains, pertanian dan sebagainya, yang menggambarkan kesempurnaan Islam yang dihayati secara menyeluruh. Pada zaman moden ini, masjid perlu memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat maju agar umat Islam tidak ditinggalkan oleh arus kemajuan yang sedang pesat berlaku.

Ketiga: Melibatkan anak muda untuk berperanan aktif mengimarahkan masjid dan memberikan kepercayaan kepada mereka untuk turut berperanan berada dalam barisan kepimpinan masjid.

Keempat: Memuliakan kesucian masjid sebagai rumah Allah yang berperanan sebagai tempat untuk kita menghayati semangat bahawa orang Islam itu bersaudara, tempat menyatukan ummah, tempat mendekatkan ummah kepada Allah, tempat menginsafkan ummah bahawa kita adalah sama di sisi Allah, berpegang kepada akidah yang sama, bertuhankan Allah yang Esa.

Baginda SAW menyifatkan bahawa masjid merupakan tempat mulia yang paling disukai oleh Allah SWT.

Maksudnya: “Negeri yang paling disukai oleh Allah ialah masjid-Nya.

(Hadis riwayat Muslim)

Sedarlah bahawa masjid merupakan rumah Allah yang mulia lagi suci, yang diamanahkan untuk kita mengimarahkannya. Oleh itu, hendaklah kita menghidupkan rasa kasih dan sayang di rumah Allah ini dengan merajinkan diri kita untuk ke masjid, menemui Allah yang telah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat dari segi keluarga, usia, kesihatan, rezeki dan kejayaan. Buktikan kepada Allah SWT sifat syukur dan rasa terima kasih dengan sering berkunjung untuk memakmurkan rumah-rumah Allah supaya senantiasa mendapat rahmat, hidayah dan petunjuk daripada-Nya.

Pengimarahan masjid mesti dilakukan melalui pelbagai kegiatan sama ada yang berbentuk keagamaan ataupun bukan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Tambat dan labuhkan hati kami untuk menjadikan masjid sebagai tempat yang paling kami sukai, untuk kami berasa lapang dan senang mengunjungi dan beriktikaf di dalamnya. Bimbing hati kami untuk sentiasa melangkahkan kaki mengimarahkan masjid. Kurniai para pengurus masjid ketekunan, keikhlasan, ketabahan dan kesabaran serta ilham untuk membangunkan masjid sebagai pusat masyarakat. Limpahi rumah-rumah-Mu itu dengan cahaya perdamaian yang membuka hati umat-Mu untuk bersatu, berpadu dan meningkatkan silaturahim.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat bertajuk “Mengimarahkan Rumah Allah”, 30 Jun 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.