15 Jun 2023, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT, setiap manusia tentunya mempunyai sifat kelemahan yang memerlukan kebergantungannya pada yang lain. Pada diri manusia itu juga mempunyai naluri yang melahirkan kehendak dan kemahuan akan sesuatu perkara.

Bagi memenuhi tujuan tersebut, manusia acap kali akan berdoa meminta pertolongan dan bantuan kepada Pencipta-Nya. Demikian juga antara tujuan hidup beragama termasuklah untuk berinteraksi dengan Tuhan melalui ibadat berdoa pada-Nya. Dalam konteks apa-apa pun agamanya, manusia tidak dapat lari daripada berdoa dan bergantung harap pada Tuhannya.

Perkataan “doa” dari segi bahasa bermaksud panggilan atau meminta pertolongan. Menurut Ibn Faris dalam kitabnya, Maqayis al-Lughah, beliau menyatakan bahawa doa bermaksud memalingkan sesuatu kepada diri dengan suara dan kata. Ibn Manzur pula dalam kitabnya, Lisan al-Arab, menyatakan bahawa doa dari segi bahasa ialah menyeru, manakala dari segi istilah pula, doa lebih difahami sebagai permohonan daripada seorang hamba kepada Allah SWT untuk menunaikan hajatnya. Imam al-Khattabi dalam kitab Sya’n al-Du‘a’ mengatakan bahawa doa ialah permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya, dan hakikat doa ialah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah SWT.

Dalam inti pati ajaran Islam, doa merupakan ibadat yang menunjukkan ketundukan dan kepatuhannya kepada Allah, malah membuktikan kelemahan diri insan yang sentiasa memerlukan kebergantungan pada Allah SWT. Hal ini juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, bahawa doa merupakan ibadat untuk melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada Allah SWT sambil menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki. Oleh itu, perbuatan mengangkat dan menadah tangan memohon doa merupakan ibadat yang terpuji lagi dimuliakan oleh Allah SWT. Ibadat ini sangat dekat dengan Allah SWT yang sentiasa mendengar akan segala hajat dan permohonan hamba-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud, “Dan Tuhanmu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.’”

Berdasarkan ayat tersebut, menjadi kewajipan bagi setiap manusia yang beriman kepada Allah untuk memohon pertolongan dan bantuan hanya kepada Allah SWT. Tidak boleh berdoa untuk meminta dan memohon pertolongan selain kepada Allah. Allah SWT Tuhan yang memiliki segala sifat kemurahan-Nya, menyuruh kita berdoa hanya kepada-Nya.

Tuhan sentiasa membuka pintu untuk kita memohon apa-apa sahaja yang dihajati selagi perkara itu tidak bercanggah dengan syarak. Selain itu, bagi mereka yang sombong, takbur, enggan berdoa serta tunduk patuh kepada Allah, mereka telah dijanjikan tempat kembali di neraka jahanam dengan keadaan penuh kehinaan.

Doa yang dipanjatkan dengan penuh keihklasan dan hati  yang bersih nescaya akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Doa yang juga menjadi sebahagian daripada ibadat kepada Allah, bukan lagi sekadar mengungkapkan lafaz dengan melontarkan suara yang nyaring. Doa juga bukan semata-mata menuturkan skrip bacaan doa yang dihafal membabi buta tanpa memahami dan menghayati isi kandungan doa tersebut.

Seperti yang dinyatakan, doa merupakan suatu bentuk ibadat yang menzahirkan kerendahan diri, tunduk dan patuh serta akur akan kelemahan diri sendiri di hadapan Allah SWT. Maka itu, doa tidak boleh dijadikan sekadar penyeri majlis dan tidak sewajarnya dibuat sebagai adat tradisi sahaja. Sebaliknya, ibadat doa merupakan ruang dan peluang yang bermakna kepada seorang hamba untuk berinteraksi dengan Tuhannya.

Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan-Nya, telah berjanji akan menjawab doa setiap hamba-Nya yang berdoa dengan penuh ikhlas dan khusyuk. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam hadis riwayat al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada seorang pun yang berdoa kecuali Allah akan mengabulkan apa-apa yang dimintanya atau memalingkannya daripada keburukan yang semisalnya, selama dia tidak berdoa yang mengandungi dosa atau pemutusan silaturahim.”

Tugas kita sebagai hamba-Nya adalah untuk berdoa memohon kepada-Nya. Adapun bagi Allah, dengan kehendak-Nya, harus bagi-Nya untuk memakbulkan doa tersebut.

Sebahagian kita barangkali berdoa agar dikurniakan harta yang banyak, namun Allah telah memalingkan kita daripada menjadi kaya kerana Allah lebih mengetahui apa-apa yang kita perlukan. Boleh jadi sekiranya menjadi kaya-raya, kita bertambah sombong dan angkuh dengan kekayaan sebagaimana Qarun, orang terdahulu yang ditenggelamkan oleh Allah bersama-sama harta kekayaannya disebabkan kesombongan dan keangkuhannya.

Berdoa tidak semestinya dengan ungkapan dalam bahasa Arab. Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, tidak tertakluk kepada mana-mana bahasa yang ada di dunia. Sebutlah dan serulah nama Allah, luahkan hasrat dan hajat dengan apa-apa jua bahasa yang boleh kita tuturkan. Asalkan setiap bait doa yang diungkapkan itu difahami dan dihayati dengan penuh ikhlas dan berharap kepada Allah SWT. Inilah antara syarat utama untuk doa diterima oleh Allah SWT. Hati seorang hamba perlu bersih daripada segala kekotoran hati seperti bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk dalam ibadat, di samping benar-benar yakin dan berharap kepada Allah SWT.

Selain itu, syarat doa diterima juga antara lain mestilah diri bersih daripada perkara yang haram dan batil. Hal ini juga sebagaimana yang terkandung dalam sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ya Rab, ya Rab, tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

Demikianlah hakikat doa yang menjadi rutin setiap insan yang lemah dan hina ini. Sentiasalah bergantung harap memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT. Kita harus sedar bahawa doa bukan sekadar diungkapkan dengan nada yang sedap dan nyaring, tidak pula semata-mata rutin selepas solat, bahkan lebih besar daripada itu, doa merupakan suatu ibadat khas untuk kita berinteraksi dengan Pencipta. Berdoa merupakan suatu kedudukan eksklusif antara diri kita dengan Allah.

Doa juga menjadi penghubung terus kita dengan-Nya. Tanpa memerlukan perantaraan, Allah tidak pernah terlepas daripada mendengar setiap rintihan, keluhan dan hajat setiap hamba-Nya yang benar-benar bergantung harap pada-Nya. Semoga doa kita akan lebih dirasai kehambaannya dan bukan sekadar ungkapan lafaz di mulut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.