23 Julai 2023, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 40 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dalam kalangan keluarga miskin dan tidak berkemampuan, yang namanya dicadangkan oleh Pusat Islam UiTM Cawangan Perlis menerima sumbangan RM200.00 setiap seorang daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Yang DiPertua MAIPs di Masjid An-Nur, UiTM Kampus Arau, bersempena dengan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-11 bagi tahun 2023 dan melibatkan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM8000.00 pada kali ini.

Selesai program tersebut, Tuanku Pemangku Raja menitahkan pihak UiTM Cawangan Perlis agar terus mengeratkan hubungan serta memperbanyak program bersama-sama Persatuan Alumni UiTM dan alumni UiTM Perlis itu sendiri. Hal ini demikian kerana majoriti alumni sudah mampu untuk menjanakan pendapatan sendiri untuk disarankan sebagai sumber wakaf termasuklah sumber inspirasi kepada pelajar. Alumni juga boleh bertindak sebagai “duta” UiTM Perlis untuk membantu memberikan pendedahan dan pelibatan yang lebih luas tentang aktiviti universiti kepada masyarakat di luar sana.

Pada masa yang sama, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga yakin bahawa aspek keceriaan, kebersihan dan kehijauan kampus akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa. Di samping itu, UiTM Cawangan Perlis juga dapat terus memantapkan dan meneruskan lagi program antarabangsa seperti program pertukaran pelajar bersama-sama institut pengajian tinggi (IPT) serta sekolah-sekolah di Thailand dan di Indonesia. Contohnya, program sedia ada bersama-sama Wittaya Muslim School di Phuket juga perlu diperhebat.

Sesi penyerahan sumbangan kepada seorang daripada pelajar yang terlibat disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.