29 Jun 2023, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bagi setiap umat, Kami mensyariatkan penyembelihan korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka. Maka itu, Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa, oleh sebab itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang yang tunduk patuh kepada Allah.”

(Surah al-Hajj 22:34)

Dalam bulan Zulhijah terkandung hari-hari tasyrik, bermula pada 10 Zulhijah dan berakhir pada 13 Zulhijah. Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang menyempurnakan rukun haji akan melakukan ibadat melontar ketiga-tiga jamrah; dilakukan untuk memperingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s., melontarkan anak batu kepada syaitan yang menjelma dengan tujuan mahu memesongkan akidah kedua-dua nabi besar tersebut, ketika kedua-dua mereka telah nekad melakukan ibadat korban sebagai bukti ketakwaan kepada Allah SWT.

Mengambil iktibar daripada semangat pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s., umat Islam disyariatkan melakukan ibadat korban setelah mendirikan Solat Sunat Aidiladha sehingga hari ke-13 Zulhijah. Ibadat korban dilakukan dengan membelanjakan sebahagian daripada harta kurniaan Ilahi untuk sembelihan haiwan ternakan, lalu diagihkan dagingnya kepada golongan yang memerlukan.

Hukum melaksanakan ibadat korban ialah sunat muakad, iaitu sunat yang sangat dituntut bagi yang baligh, berakal dan berkemampuan untuk melaksanakannya. Firman Allah SWT yang bermaksud, ”Maka dirikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda syukur).” (Surah al-Kawthar 108:2). Bagi golongan yang mampu, jika meninggalkan ibadat korban, hukumnya makruh berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami sembahyang ini”. (Hadis riwayat Ibn Majah).

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikian Allah memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

(Surah al-Hajj 22:37)

Ayat ini menjelaskan tujuan sebenar pensyariatan ibadat korban. Ibn Kathir menegaskan bahawa korban dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Ilahi yang telah mengurniakan pelbagai nikmat; juga untuk menjelaskan perbezaan amalan korban masyarakat Arab jahiliah pada suatu ketika dahulu yang mempersembahkan haiwan sembelihan dengan cara meletakkan daging dan darah korban di hadapan berhala-berhala yang berada di sekeliling Kaabah.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan bahawa bukan darah dan daging yang sampai kepada-Nya, tetapi keikhlasan niat dan kesanggupan mengorbankan harta ketika melakukan ibadat korban sebagai bukti ketakwaan kepada Tuhan. Takwa mengajar erti sifat kehambaan yang sebenar; takwa menjernihkan saki-baki kekotoran yang terpahat dalam jiwa; takwa menyedarkan manusia untuk sentiasa berjiwa pemurah, bercakap benar dan bersifat rendah diri.

Ibadat korban menuntut ummah mensyukuri kurniaan Ilahi dan pada waktu yang sama memupuk sifat ihsan. Kelebihan rezeki yang dikurniai Ilahi kepada sebahagian daripada kita membolehkan kita saling melengkapi antara satu dengan lain. Dalam suasana harga barang makanan yang semakin mahal, banyak orang pada ketika ini mampu sekadar menyediakan makanan yang paling asas untuk keperluan keluarga, dan mereka hanya mengimpikan untuk dapat menjamah bahan makanan berharga mahal.

Menginsafi kesusahan mereka yang miskin, ibadat korban memberikan peluang kepada kita untuk mengamalkan semangat menghulurkan bantuan kepada orang yang tidak dikurniakan nikmat harta yang lebih. Beruntung bagi mereka yang melakukan ibadat korban dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana ketakwaan kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: ”Tidak ada satu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di satu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Oleh sebab itu, bahagiakan dirimu dengannya.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Ibadat korban menuntut ummah mensyukuri kurniaan Ilahi dan pada masa yang sama memupuk sifat ihsan.

Umat Islam diingatkan dengan beberapa perkara seperti yang berikut.

Pertama: Menyambut Aidiladha dengan sifat kesyukuran. Banyakkan bertakbir membesarkan Allah sepanjang hari ini, diikuti pada hari-hari tasyrik. Jauhi amalan mungkar yang menyebabkan dosa.

Kedua: Mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan fakir miskin.

Ketiga: Menjadikan pedoman inti sari khutbah Hajjah al-Wada’ yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Baginda bersabda yang bermaksud, “Wahai manusia! Penciptamu adalah satu, dan nenek moyangmu juga satu. Kamu daripada Adam, dan Adam diciptakan daripada tanah. Yang termulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Dan tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab, bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, atau orang berkulit hitam atas orang berkulit merah, jika bukan dengan ketakwaan.”

Lalu diambil iktibar semangat yang terkandung di sebalik ibadat haji, iaitu ibadat yang menghimpunkan pertemuan ummah dari serata pelosok dunia, mengabdikan diri sebagai hamba kepada Pencipta-Nya, dan berkedudukan sama di sisi Ilahi kerana kelebihan seseorang hamba itu terletak pada takwa.

Keempat: Menyemaikan niat yang bersungguh-sungguh untuk menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu mengerjakan ibadat haji; bermula dengan melakukan perancangan awal, mendisiplinkan diri, menabung simpanan secara bulanan, dan mendaftar permohonan untuk menunaikan haji. Semoga niat kita dimakbulkan Ilahi.

Sambutlah Aidiladha dengan merapatkan silaturahim dan hubungan baik sesama jiran, sanak saudara dan kaum keluarga. Eratkan persaudaraan sesama ummah dan dibina ukhuwah sesama insan. Dalam suasana kita bergembira, berpakaian indah dan menikmati pelbagai juadah bersama-sama anggota keluarga, hargailah pengorbanan saudara-saudara kita yang pada ketika ini ditugaskan melaksanakan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah antaranya termasuklah anggota tentera, polis, bomba dan penyelamat, doktor, jururawat dan petugas di hospital, pengendali pengangkutan awam, juruterbang, pemandu bas dan teksi, serta pelbagai perkhidmatan yang berkaitan, begitu juga yang bertugas dalam pelbagai industri perkhidmatan merangkumi hotel, restoran, stesen minyak, media dan komunikasi. Semoga Allah melimpahi rahmat dan ganjaran atas pengorbanan mereka, begitu juga kepada ahli-ahli keluarga mereka.

Ya Allah! Ya Rab al-‘Alamin! Mudahkan para jemaah yang menjadi tetamu-Mu di Kaabah menyempurnakan ibadat haji. Kurniai mereka keafiatan. Jauhi mereka daripada sebarang petaka. Selamatkan perjalanan mereka untuk kembali bersama keluarga. Terimalah ibadat korban yang dilaksanakan oleh hamba-hamba-Mu.

Ya Hafiz! Kami pohonkan perlindungan-Mu, agar Engkau melindungi kami dan keluarga kami daripada sebarang bencana dan kemalangan ketika menyambut Aidiladha. Kurniai kami keafiatan dan keselamatan yang berkekalan.

Ya Razzaq! Berkati hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikan harta dan jiwa mereka.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Hari Raya Aidiladha 1444/2023, 29 Jun 2023, bertajuk “Ibadat Korban – Bukti Takwa ke Hadrat Ilahi”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.