Oleh Nur Saadah Khair
29 Jun 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kisah Nabi Ibrahim a.s. banyak dicatatkan dalam al-Quran, dan antara kisah penting yang sering dikaitkan bersempena dengan Aidiladha ialah arahan wahyu yang diterima untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s. Biarpun Nabi Ibrahim a.s. menerima dan melaksanakan arahan tersebut dengan reda, terdapat seorang individu penting yang wajar juga dijadikan contoh terbaik bagi menghargai pengorbanan beliau dalam melaksanakan peranan sebagai isteri kepada Nabi Ibrahim a.s. dan ibu kepada Nabi Ismail a.s.

Nama Hajar tidak disebut secara literal dalam al-Quran, tetapi ayat seperti dalam Surah Ibrahim, ayat 37 secara tidak langsung menyebut tentang wanita penting ini. Firman Allah SWT, seperti yang dilafazkan dalam doa Nabi Ibrahim a.s. yang bermaksud,

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (tanah suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Doa tersebut telah menjadi sumber kekuatan kepada Hajar yang ditinggalkan bersama-sama Nabi Ismail a.s. yang masih kecil. Perpisahan sememangnya pengalaman yang menyakitkan. Lebih sukar bagi mereka mengetahui bahawa Makkah pada ketika itu bukanlah kota yang berkembang maju seperti yang kita kenali pada hari ini. Makkah ialah tanah tandus dan gersang tanpa kehidupan di sekelilingnya. Tidak ada air mahupun orang. Dalam panas terik di padang pasir, satu-satunya keperluan yang mereka ada hanyalah seuncang kurma dan bekas air.

Apabila bekalan yang ada telah habis dan susunya menjadi kering, Hajar dan anaknya tidak menemui manusia untuk memohon bantuan dan tiada punca air ditemui pada ketika itu. Dia menjadi putus asa dan berlari di antara bukit Safa dengan Marwah, dengan harapan akan bertemu sesiapa yang boleh membantu. Hajar mengulanginya beberapa kali tetapi masih tiada sesiapa yang dapat dilihat. Setelah berulang-ulang kali melalui jalan yang sama, dan setelah usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil, Allah SWT menganugerahi mereka air zamzam yang masih mengalir hingga hari ini untuk kita peringati peristiwa tersebut.

Tambahan itu, larian Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah dan dari Marwah ke Safa menjadi antara rukun penting dalam ibadat haji. Justeru, ingatan terhadap kisah Hajar bukan sahaja ketika musim haji tetapi juga ketika ditimpa kesusahan ataupun ujian dan ketika melakukan pengorbanan.

 

Bersangka baik dan bertawakal

Pensyariatan ibadat korban kepada umat Islam adalah berdasarkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.

Adakah Allah yang memerintahkan untuk kamu melakukannya?

Soalan ini menjadi kemuncak penerimaan Hajar kepada keputusan yang diambil oleh Nabi Ibrahim a.s. Beliau tidak marah dan bersikap rasional dengan bersangka baik terhadap suaminya. Tiada isteri yang sanggup ditinggalkan begitu sahaja, apatah lagi dengan anak yang masih bayi. Namun begitu, Hajar meletakkan kebergantungan hidupnya semata-mata kepada Allah. Beliau percaya, jika hal yang demikian merupakan perintah Allah, maka Allah jugalah yang akan mencipta kesenangan di sebalik kesusahan, kerana bantuan Allah akan sentiasa tiba apabila putus segala pengharapan kepada manusia.

Keimanan Hajar diuji lagi apabila Nabi Ibrahim a.s. mendapat perintah untuk mengorbankan anak tunggal mereka. Namun demikian, Hajar sentiasa percaya bahawa suaminya tidak akan membuat sesuatu keputusan di luar kemahuannya sekiranya tiada penggerak yang lebih agung berbanding dengan wahyu. Malah, jawapan Nabi Ismail a.s. yang dicatatkan dalam Surah al-Saffat, ayat 102 memberikan kekuatan luar biasa kepada Nabi Ibrahim a.s. dan Hajar untuk melaksanakan perintah tersebut. Nabi Ismail a.s. berkata yang bermaksud, “Wahai ayah, jalankanlah apa-apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku daripada kalangan orang yang sabar.”

Hati seorang ibu pasti bagai dirobek apabila anaknya sendiri perlu dikorbankan. Sekali lagi, Hajar meletakkan kebergantungannya kepada Allah. Nabi Ibrahim a.s. juga menjalankan perintah tersebut dengan kebergantungannya kepada Allah. Beliau menutup matanya, merebahkan tubuh anaknya dan memegang pisau yang diletakkan ke kerongkong anaknya.

Ketika beliau hendak mula memotong dan menjalankan korban tersebut, Allah menurunkan wahyu-Nya seperti yang disebutkan dalam Surah al-Saffat, ayat 103 – 109. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Serta Kami menyerunya: ‘Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.’ Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: ‘Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!’”

Ujian tersebut pada akhirnya bertukar menjadi iktibar yang menggembirakan. Nabi Ismail ditukar menjadi kibas, dan daging yang dikorbankan kemudiannya diagihkan kepada penduduk di sekitar tanah haram. Dengan jelas Allah berkata bahawa perintah tersebut merupakan ujian yang nyata ke atas para nabi dan keluarganya. Melalui ujian tersebut, Allah akan membalas usaha mereka mengerjakan kebaikan serta kesabaran dalam menjalankan perintah tanpa mempersoalkannya.

 

Berkorban hanyalah kerana Allah SWT

Kewujudan wanita bernama Hajar telah meninggalkan impak yang besar dalam aspek ibadat dan juga sejarah. Setiap individu tidak kira lelaki mahupun wanita perlu mengambil ibrah daripada kisah Hajar dengan kesusahan yang telah dilalui, ketabahan dan kesabaran yang dipraktikkan, serta pengorbanan beliau yang tidak boleh dijual beli sama ada peranannya sebagai ibu mahupun isteri.

Pengajaran yang diambil daripada kisah Hajar bukanlah kerana statusnya sebagai isteri dan ibu kepada nabi. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat juga isteri para nabi yang tidak beriman dan mengingkar perintah Tuhan dan suami. Hajar berkorban kerana dia percaya bahawa semua kesusahan hanya akan berakhir dengan kesenangan sekiranya mempunyai keimanan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Hajar juga berkorban perasaan dan beliau yakin bahawa pasti ada kemanisan dalam setiap ujian.

Tawakal yang dipegang oleh Hajar adalah pada tahap yang tertinggi. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Talaq 65:3). Iman bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi meyakini dalam hati, mengucapkan dengan lisan, dan mengaplikasikan dengan tindakan. Iman akan meningkat dengan ketaatan yang tinggi kepada Tuhan, dan setiap ketaatan pasti akan diuji dengan pengorbanan.

Pengorbanan tidak memerlukan status yang tertentu. Seseorang wanita yang mahu berkorban tidak perlu berlari di padang pasir kerana kemungkinannya, berjalan di dalam dewan yang berhawa dingin juga memerlukan pengorbanan. Akan tetapi, setiap pengorbanan yang berpanjikan nama Tuhan sahaja yang akan diberikan balasan dan ganjaran. Sesungguhnya nilai pengorbanan di sisi Allah sangat besar darjatnya kerana hanya insan yang terpilih sahaja yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Biarpun Nabi Ismail a.s. yang dipilih menjadi “korban”, tetapi berkat ketabahan Hajar yang menjaga anaknya itu sejak kecil dengan penuh kesukaran merupakan pengorbanan yang tiada tolak tandingnya. Beruntunglah Hajar kerana tidak mengeluh, malah reda dengan ketetapan dan ujian Tuhan. Beruntunglah Hajar kerana hingga kini namanya dikenang atas pengorbanan beliau sebagai seorang isteri dan ibu.

Maka itu, berlapang dadalah dengan ujian dan kesukaran. Bertahanlah selagi mampu untuk melakukan pengorbanan demi kebaikan yang mendatang. Sesungguhnya seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa-apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya memberikan manfaat untuk orang lain.


Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan EXCO Biro Kajian Islam dan Hadis, WAFIQ.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.