Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) memeterai kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama-sama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi perancangan kolaborasi Program Pengajian Siswazah Secara Pesisir yang ditawarkan kepada graduan KUIPs.

Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Rektor KUIPs dan Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI menandatangani Memorandum Persefahaman bagi perancangan kolaborasi Program Pengajian Siswazah Secara Pesisir di Dewan Jauhar NCDRC UPSI, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Jauhar NCDRC UPSI ini menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara kedua-dua institusi pendidikan tersebut yang masing-masing diwakili oleh Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Rektor KUIPs dan Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI.

Menurut Profesor Dr. Muhamad Rozaimi, fokus utama kolaborasi ini adalah melalui penawaran program pascasiswazah kepada graduan KUIPs terutamanya dalam bidang berkaitan dengan pengajian Islam serta kerjasama strategik bagi melaksanakan penyelidikan dan perundingan berimpak tinggi melalui penganjuran siri seminar dan persidangan secara bersama.

“Selain itu, KUIPs juga berhasrat untuk menjayakan kerjasama ini melalui program sangkutan kakitangan dan pertukaran pelajar melibatkan UPSI dan KUIPs serta pelantikan bersilang kakitangan pakar (expert) sebagai perunding atau penyelia bersama melibatkan multibidang kepakaran,” tambah beliau ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Selari dengan hasrat pengajian tinggi dalam menjayakan transformasi pendidikan negara, KUIPs yang kini telah genap sedekad penubuhannya komited untuk melahirkan graduan holistik dengan penawaran program berteraskan Applied Sunnah sebagai tujahan utama dan menjayakan agenda “Di Sini Pencinta Sunah Dilahirkan”.

Tambah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi, “Kolaborasi ini juga melibatkan pembangunan sumber manusia menerusi latihan kepada kakitangan untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran, akses kepada fasiliti serta perkongsian jaringan industri kedua-dua pihak.

“KUIPs juga sentiasa bersedia untuk kerjasama lain yang bermanfaat dan dipersetujui bersama,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah delegasi Pengurusan Tertinggi KUIPs yang diwakili oleh Profesor Madya Dr. Abdul Basir Awang@Mohd Ramli, Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa; Puan Fauziah Mohd Safar, Penasihat Undang-undang KUIPs; serta barisan Jawatankuasa Pengurusan UPSI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.