Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bersama-sama ahli panel, moderator dan tetamu undangan dalam Forum Perdana bertajuk “Suburkan Hartamu dengan Berwakaf”, anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Kuala Perlis – Wakaf sentiasa melihat masa hadapan.

Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, “Wakaf merupakan satu hukum fiqah yang pelaksanaannya melihat visi masa hadapan.”

Dua aspek yang dikaitkan dengan wakaf ialah masa hadapan di dunia untuk generasi Islam dan masa hadapan di akhirat, iaitu untuk diri sendiri.

“Mungkin suatu masa nanti Perlis akan memperkemas sistem wakaf yang mungkin tidak didahului oleh tempat lain,” katanya ketika menghadiri Forum Perdana bertajuk “Suburkan Hartamu dengan Berwakaf”, anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Bank Rakyat.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri forum yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu Lima, Jalan Kuala Perlis, pada malam semalam.

Program tersebut dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-80 dan juga Mesyuarat Institusi Pengajian Tinggi Milikan Negeri (IPTN) Bilangan ke-2 bagi tahun 2023 yang dikendalikan oleh KUIPs pada kali ini.

Dua ahli panel undangan yang berkongsi pengalaman serta pandangan dalam program tersebut ialah Rektor KUIPs, Profesor Dr. Muhammad Rozaimi Ramle dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Bank Rakyat, Profesor Dr. Azman Mohd Noor, manakala pendakwah bebas, Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Mesyuarat IPTN Bil. 02/2023 yang berlangsung pada 24 Mei 2023 melibatkan beberapa Institusi Pengajian Tinggi Milik Kerajaan Negeri seperti KUIPs, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Kedah), Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Pulau Pinang), Universiti Sultan Azlan Shah (Perak), Universiti Islam Selangor (Selangor), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (Kuala Lumpur), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (Johor), Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (Johor), Tati University College (Terengganu), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Pahang), Pahang Skills Development Centre (Pahang), University College of Yayasan Pahang (Pahang) dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (Sabah).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.