Diterbitkan pada 18 Julai 2026, 23:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Akses ilmu yang sahih menguatkan kefahaman, penghayatan dan amalan agama dalam kehidupan seharian.

Sejarah tamadun Islam telah membuktikan bahawa wakaf menjadi sebuah instrumen penting yang menyokong pembangunan umat Islam secara menyeluruh. Pelaksanaan instrumen ini bukan hanya melibatkan sumbangan harta fizikal seperti tanah, bangunan atau kemudahan awam, malah turut merangkumi sesuatu manfaat seperti ilmu yang memberikan impak dalam jangka panjang dan berterusan.

Konsep dan Asas Wakaf Ilmu

Instrumen wakaf ilmu mampu memperkukuh pembangunan intelektual umat menerusi penyediaan akses pendidikan, pembiayaan institusi keilmuan termasuk madrasah, perpustakaan dan pusat pengajian, serta sokongan terhadap aktiviti penyelidikan dan penulisan ilmiah.

Sumbangan wakaf ini tidak terbatas daripada kalangan para ulama atau ilmuwan semata-mata, bahkan terbuka kepada mereka yang mampu menyebarkan pengetahuan kepada khalayak. Hasilnya, kesinambungan ilmu diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Oleh itu, wakaf ilmu merupakan medium signifikan untuk membangunkan tamadun Islam yang berteraskan ilmu, nilai dan kesejahteraan umat.

Sayidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. telah mendapat sebidang tanah di Khaibar, lalu beliau datang menemui Rasulullah SAW untuk meminta pandangan Baginda mengenainya. Beliau berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Aku tidak pernah mendapat harta yang lebih bernilai bagiku selainnya. Oleh itu, apakah yang engkau perintahkan kepadaku mengenainya?” Baginda bersabda, “Jika engkau mahu, tahanlah (bekukan) asal harta itu, dan sedekahkanlah manfaatnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2737).

Berdasarkan hadis ini, instrumen wakaf ialah satu bentuk sedekah jariah yang berterusan. Pahalanya akan terus mengalir selagi manfaatnya digunakan oleh orang lain. Sistem wakaf dalam Islam menekankan kelestarian sesuatu harta. Hadis ini juga menjadi asas kepada konsep wakaf ilmu yang dilihat sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang bernilai.

Pada hari ini, wakaf tersebut direalisasikan melalui penyediaan bahan ilmiah seperti buku, manuskrip dan sumber digital yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan pelajar. Amalannya berupaya menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing dalam pelbagai bidang.

Peranan Wakaf Ilmu Membina Istiqamah

Wakaf ilmu memainkan peranan penting untuk membina istiqamah dalam kalangan umat Islam, khususnya keteguhan hati dan kepatuhan yang konsisten terhadap ajaran Islam dari aspek akidah, ibadah mahupun akhlak. Penyebaran agama secara berterusan melahirkan generasi yang sentiasa menuntut ilmu dan mengamalkannya tanpa terikat oleh batasan masa dan tempat.

Keadaan ini juga menyuburkan nilai keikhlasan seseorang individu menyampaikan ilmu demi manfaat umat, bukan kepentingan peribadinya semata-mata. Oleh itu, amalan wakaf ini bukan sahaja memperkukuh tradisi keilmuan Islam, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang tekal terhadap kebenaran dan kebaikan.

Tidak dinafikan, perkembangan teknologi pada zaman moden telah membawa perubahan besar kepada manusia untuk menyebarkan dan memperoleh ilmu dengan mudah. Melalui media sosial, blog dan video, segala maklumat hanya dicapai pada hujung jari.

Keadaan sedemikian membuka peluang yang luas kepada umat Islam untuk mewakafkan ilmu dengan lebih cepat dan meluas. Kini, wakaf ilmu tidak lagi terhad kepada penyebarannya di ruang fizikal seperti masjid atau bilik kuliah, sebaliknya disebarkan ke seluruh dunia dalam masa yang singkat melalui media digital.

Platform ini ternyata memberikan kemudahan kepada umat untuk mewakafkan ilmu dan menjadikan amalannya lebih lestari merentas zaman. Oleh yang demikian, penyebaran ilmu secara konsisten melalui medium digital membina sifat istiqamah dalam penyampaian dan pencarian ilmu pengetahuan.

Akses ilmu yang sahih menguatkan kefahaman, penghayatan dan amalan agama dalam kehidupan seharian. Pengukuhan istiqamah dapat dicapai apabila wakaf ilmu pada era digital dilaksanakan secara terancang dan berlandaskan keikhlasan demi mencari keredaan Allah SWT.

Cabaran Maklumat Palsu dan Penyelewengan Agama

Pada masa yang sama, perkembangan teknologi telah membawa kepada penyebaran maklumat yang tidak sahih, terutamanya perkara yang melibatkan ajaran Islam. Hal ini memberikan kesan negatif terhadap istiqamah umat Islam yang melemahkan hubungan spiritual mereka dengan Allah SWT.

Keadaan tersebut juga menjadi semakin bermasalah tatkala ajaran palsu dan fahaman yang menyeleweng kian banyak disebarkan. Kemudahan perkongsian maklumat tanpa tapisan membolehkan sesiapa sahaja menyebarkan kandungan agama tanpa merujuk agamawan atau ulama yang berkelayakan dalam tafsiran al-Quran dan hadis.

Akibatnya, umat Islam terpengaruh dengan pandangan yang bercanggah dengan ajaran agama yang sebenar, lantas mengelirukan pegangan akidah dan amalan ibadah. Istiqamah seseorang menjadi lemah kerana tidak berpegang pada sumber ilmu yang sahih dan konsisten, serta berubah-ubah mengikut arus maklumat terkini dalam media digital.

Tanggungjawab Memperkasakan Wakaf Ilmu Digital

Sehubungan dengan itu, para agamawan seharusnya memperkasakan amalan wakaf ilmu melalui sosial media yang berpegang pada landasan ilmu yang sahih. Melalui penyampaian ilmu yang benar bersumberkan al-Quran dan hadis, istiqamah umat Islam dapat dibentuk dengan berpandukan ilmu secara berterusan.

Pelibatan aktif golongan ini dalam wakaf ilmu bukan sahaja memelihara kesucian ilmu Islam, malah menjadi benteng kepada kehidupan umat Islam untuk kekal teguh dalam pengamalan agama. Wakaf ilmu mampu membentuk kesedaran spiritual dalam diri umat Islam melalui penyebaran pengetahuan dan mengingatkan manusia kepada Allah SWT sebagai hamba-Nya.

Pada hari ini, wakaf ilmu hadir dalam bentuk digital yang lebih moden mernagkumi e-buku islamik, video kuliah dalam talian, aplikasi pembelajaran al-Quran dan hadis, kursus percuma dan audio siar keagamaan yang dapat dilayari pada bila-bila masa. Kesemua kemudahan tersebut menjadikan amalan wakaf ilmu lebih fleksibel dan menjangkau masyarakat global tanpa batasan geografi.

Perkembangan ini menyebabkan penyebaran ilmu agama Islam lebih pantas dan berkesan untuk membentuk umat yang beristiqamah. Apabila hati umat Islam dipenuhi dengan ilmu yang bermanfaat, maka keadaan ini membimbing hidup mereka untuk sentiasa beramal.

Sebagai kesimpulan, instrumen wakaf ilmu merupakan medium penting bagi umat Islam menghadapi cabaran era digital yang semakin kompleks. Wakaf ilmu bertindak sebagai pembentuk jiwa yang teguh, berakhlak dan berpegang kuat pada ajaran Islam secara berterusan. Dalam era yang pantas berubah dan penuh dengan lambakan maklumat, umat Islam amat memerlukan sumber ilmu yang dipercayai dan berterusan.

Wakaf ilmu digital menjadi jawapan bagi memenuhi keperluan sedemikian kerana hasilnya mampu menjangkau segenap lapisan masyarakat dengan lebih berkesan. Istiqamah bukanlah sesuatu yang dimiliki secara tiba-tiba, tetapi dibaja menerusi ilmu, amalan dan persekitaran yang baik. Dengan memperkukuh instrumen wakaf ilmu, umat Islam dapat berdiri teguh pada jalan Allah SWT meskipun diuji dengan pelbagai cabaran pada zaman moden.


Penulis merupakan Profesor Madya di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi