Oleh Syaza Wardina
23 Mei 2023, 23:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Semua pihak di Perlis hendaklah berganding bahu dalam isu kebersihan dan tidak meletakkan tanggungjawab ini kepada kerajaan semata-mata.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tidak ada jentera atau pentadbiran yang boleh membersihkan keadaan sekeliling pada setiap masa.

“Usaha ini hendaklah diberikan perhatian hingga peringkat akar umbi.

“Tindakan penguatkuasaan secara tetap mestilah dilaksanakan supaya semua pihak terus cakna untuk memastikan keadaan persekitaran negeri ini sentiasa bersih dan terjaga,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan ke-9 bagi Tahun 2023 yang diadakan di Masjid al-Ikram, Kampung Sena.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan agihan zakat kepada anak kariah Masjid al-Ikram, Kampung Sena.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan supaya aktiviti gotong-royong dilaksanakan secara lebih kerap dan berterusan di kawasan masing-masing baik di persekitaran rumah, taman perumahan, tadika, sekolah, Iinstitusi pendidikan tinggi, tempat kerja, kedai makan, rumah ibadat, tempat awam, lokasi pelancongan dan sebagainya supaya rakyat setempat di negeri ini akan sentiasa menghargai dan menyayangi kebersihan kawasan milik masing-masing.

Untuk tempoh sekarang hingga hujung minggu ini, ribuan pengunjung yang melawat Langkawi untuk menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2023 akan melalui Perlis khususnya Kuala Perlis dan bermula Jumaat hingga Sabtu ini, program Perkampungan Sunah akan berlangsung di Masjid Alwi, Kangar, maka menjadi kewajipan untuk semua masyarakat Perlis sama-sama mengambil tanggung jawab dan inisiatif bagi memastikan premis masing-masing sentiasa kelihatan bersih, ceria dan tersusun.

Dalam majlis tersebut, baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM400 setiap seorang kepada sebanyak 30 asnaf fakir dan miskin dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM12 000.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.