20 Mei 2023, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru kerajaan persekutuan dan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar meneruskan rayuan berkenaan dengan isu penggunaan kalimah Allah agar keputusan tersebut menjadi rujukan yang lebih muktamad.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan, MAIS berpandangan bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi juga melibatkan akidah umat Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai Ketua Agama Negeri.

“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, MAIS berasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini.

Tambahnya, MAIS juga mengulangi kenyataan pihaknya sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.

Beliau berkata, MAIS menyeru semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri, serta mengambil kira dan merujuk Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.

Katanya lagi, hal ini adalah untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menegaskan bahawa Jemaah Menteri dalam mesyuarat baru-baru ini memutuskan untuk mengekalkan ketetapan dalam enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan nama Allah pada 7 Februari lalu.

Jemaah Menteri juga telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung dengan kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja sebagai langkah bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu, seterusnya memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.