13 Mei 2023, 23:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan umat Islam di negara ini terutamanya bakal jemaah umrah supaya tidak menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadat haji.

MOTAC sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dan mengawal selia aktiviti yang berkaitan memaklumkan peringatan itu bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan tinggal lebih masa di tanah suci sehingga masuk musim haji yang dijangka bermula pada minggu ketiga bulan depan.

“Syarikat pengendali umrah dan jemaah diingatkan supaya menyelesaikan ibadat umrah sebelum sesi musim haji bermula serta akur dengan peraturan semasa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” kata MOTAC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Pihak MOTAC memandang serius salah guna visa pelancong dan visa umrah dalam kalangan masyarakat kerana hal yang demikian melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah.

Tambah MOTAC, kementerian berusaha menghalang perkara yang tidak diingini selain menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi kerana salah guna visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadat haji menjadi kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi, iaitu menunaikan ibadat haji tanpa mempunyai permit yang sah.

Menurut kenyataan tersebut juga, Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH) untuk Malaysia.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan kementerian itu,” jelas MOTAC.

Pihak MOTAC turut meminta rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.