8 Mei 2023, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj bertitah agar semua jemaah haji Malaysia terutama dari negeri Selangor mengekalkan disiplin sepanjang berada di tanah suci nanti.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj bertitah ketika merasmikan Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran TH dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam.

Baginda juga bertitah agar semua bakal haji berganding bahu, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara satu sama lain agar ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar dan pulang dengan haji yang mabrur.

“Beta juga berkenan untuk menasihatkan supaya para jemaah haji mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan terhindar daripada sebarang masalah,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran TH dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam.

Sementara itu, bakal jemaah haji turut disarankan berbincang secara baik dengan pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) jika terdapat sebarang kekurangan atau masalah serta diingatkan tidak mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media sosial kerana hal yang demikian hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

Baginda mengucapkan tahniah kepada TH yang sentiasa bersedia untuk menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia dengan pelbagai perkhidmatan dan prasarana baru disediakan oleh pihak TH pada setiap tahun demi keselesaan jemaah haji negara yang turut menjadi model ikutan negara lain.

“Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam daripada Kerajaan Arab Saudi merupakan pengiktirafan kepada negara yang turut membuktikan keupayaan TH mempersiapkan jemaah haji menerusi program bimbingan dalam aspek ilmu haji, menjaga keselamatan dan kesihatan, sikap kendiri, peradaban serta kepentingan menjaga kebersihan persekitaran,” titahnya.

Sebanyak 6000 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2023 daripada 31 600 jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan haji pada tahun ini.

TH menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1444H/2023M secara berperingkat di seluruh negara bermula pada 29 April hingga 14 Mei 2023 yang merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.