11 Mac 2024, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) komited bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024 bakal memantapkan pentadbiran agama Islam negeri tersebut.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, RUU 2024 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu bertujuan untuk menambah baik beberapa perkara dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam di Selangor.

“Pindaan itu melibatkan pengurusan perintah bagi mahkamah syariah, pelantikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, pengurusan tauliah mengajar agama Islam dan pemerkasaan pengurusan halal,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, dengan kelulusan RUU 2024 ini juga, MAIS beriltizam untuk memantapkan lagi pengurusan agama Islam di negeri Selangor sejajar dengan undang-undang dan hukum syarak dengan kerjasama yang padu daripada agensi agama Islam yang lain di negeri ini.

Tambah beliau, hal ini selaras dengan kewajipan MAIS di bawah subseksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2023, iaitu untuk menggalakkan, mendorong dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Selangor.

Beliau dan pihak MAIS turut merakamkan penghargaan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah yang telah membentangkan RUU 2024.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sektor Undang- undang MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Kamar Penasihat Undang-undang Negeri dan semua pihak yang telah berusaha dalam menyediakan RUU 2024.

Terdahulu, MAIS meluahkan rasa syukur atas kelulusan RUU 2024 pada 7 Mac 2024 yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.