Oleh Syaza Wardina
12 April 2023, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan bantuan berjumlah RM505 ribu bagi tujuan pengurusan di 101 buah masjid di seluruh Perlis bagi tahun 2023.

Pemangku Raja Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar seluruh pengurusan masjid sentiasa berusaha bagi memastikan setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan relevan dan berimpak kepada masyarakat.

Simbolik penyerahan peruntukan berjumlah RM505 ribu oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid al-Ghufran, Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit.

Titah baginda, “Sebagai kumpulan yang dipertanggungjawabkan di peringkat kariah, kepimpinan jawatankuasa masjid diberikan mandat untuk menjalankan pelbagai aktiviti pengimarahan, ilmiah dan kemasyarakatan selari dengan dasar dan peraturan yang telah ditetapkan oleh MAIPs.”

Simbolik penyerahan tersebut disempurnakan oleh baginda bersempena dengan Program Qiam Ramadan yang diadakan di Masjid al-Ghufran, Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, Haji Mohd Nazim berkata, “MAIPs sentiasa memberikan kepercayaan kepada semua pengurusan masjid di seluruh Perlis untuk membantu MAIPs dalam memastikan agenda peningkatan syiar Islam sentiasa diterapkan.”

“Usaha menerapkan ketakwaan dalam kalangan umat Islam telah dijadikan sebahagian daripada tanggungjawab jawatankuasa kariah masjid seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perlis 1990,” jelas beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.