4 April 2023, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bakal jemaah haji perlu memuat turun sendiri aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar masing-masing menerusi Google Play atau Apple App Store.

Hal ini berikutan Kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan penggunaannya bagi tujuan permohonan visa bakal jemaah haji ke Arab Saudi pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji, YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, “Aplikasi Saudi Visa Bio merupakan satu lagi inovasi baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada musim haji tahun ini yang bertujuan untuk memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal jemaah haji ke tanah suci melalui Jeddah dan Madinah.”

Jelas beliau, langkah muat turun aplikasi berkenaan merangkumi empat proses mudah, iaitu:

  1. Melengkapkan alamat e-mel;
  2. Memuat naik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia;
  3. Membuat imbasan muka; dan
  4. Imbasan 10 jari (biometrik).

“Bakal jemaah haji akan menerima e-mel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bakal jemaah haji agar segera menyerahkan pasport mereka kepada Tabung Haji (TH) setelah mendapat pengesahan ini untuk TH memproses visa haji bakal haji berkenaan.

Malaysia merupakan antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Maghribi yang telah dipilih untuk projek perintis ini.

Hal ini mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan daripada Kerajaan Arab Saudi.

Untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio ini, bakal jemaah haji boleh melayari laman web rasmi TH atau media sosial rasmi TH.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.