4 April 2023, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd Fo’ad Sakdan mengalu-alukan seluruh warga kampus untuk menunaikan zakat fitrah melalui amil bertauliah yang dilantik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pusat Islam UUM.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kutipan Zakat Fitrah 1444 Hijrah Peringkat UUM, di Foyer Canselori Bangunan Sultan Sallehuddin, semalam.

“Mudah-mudahan, inisiatif ini membantu masyarakat setempat secara holistik. Zakat fitrah merupakan satu daripada ibadat yang penting apabila tiba bulan Ramadan, selain ibadat puasa dan solat tarawih,” katanya.

Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) yang hadir pada Majlis Pelancaran Kutipan Zakat Fitrah 1444 Hijrah Peringkat UUM, semalam.

Jelasnya, majlis yang digerakkan oleh Pusat Islam UUM bersama-sama LZNK itu amat dihargai bagi memudahkan warga kampus menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Amil bertauliah yang dilantik akan berada di pelbagai lokasi di dalam kampus mengikut jadual yang ditetapkan.

“Inilah hikmah disyariatkan ibadat ini, dalam usaha merawat ekonomi umat dan negara. Secara tidak langsung juga, ibadat zakat menjadi medium penyucian harta bagi meluaskan lagi keberkatan yang diperoleh daripada pendapatan seharian kita,” ucapnya.

Mohd Fo’ad memaklumkan bahawa jumlah kutipan zakat fitrah yang ditunaikan melalui Pusat Islam pada tahun 2022  berjumlah RM24 598 dan berharap jumlah akan meningkat pada tahun ini dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

Profesor Dr. Mohd Fo’ad Sakdan membayar zakat fitrah di hadapan Pengarah Pusat Islam, Encik Zar Ei Zakaria.

Sejurus selepas itu, beliau membayar zakat fitrah di hadapan Pengarah Pusat Islam, Encik Zar Ei Zakaria; diikuti Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahimi Mohtar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan staf yang lain.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.