27 Mac 2023, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Buat julung-julung kalinya, Karnival Pengelola Jemaah Haji (PJH) diadakan bagi membantu masyarakat Islam negara kita menangani masalah penipuan pakej haji dan umrah.

Karnival anjuran pihak Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA) yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick (MHCC) menghimpunkan sebanyak 23 PJH di bawah satu bumbung bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas mengenai pakej-pakej yang ditawarkan oleh mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar ketika berucap merasmikan Karnival Pengelola Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick, pada Sabtu lalu. (Foto: Facebook Tabung Haji)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar mengesyorkan karnival tersebut menjadi acara tahunan dan dipanjangkan bukan sahaja kepada PJH, tetapi juga kepada pengelola umrah.

“Sejak beberapa tahun belakangan ini, banyak berita berkaitan dengan penipuan pakej haji dan umrah dilaporkan dan kerajaan memandang serius serta bertekad menangani penipuan yang membabitkan jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji ini,” katanya ketika berucap merasmikan karnival ini pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, bakal jemaah haji pada tahun ini juga berpeluang mendapatkan Pakej Rahmah Haji yang ditawarkan pada harga di bawah RM50 ribu seorang oleh PJH yang diberikan lesen oleh TH.

Katanya lagi, saranan tersebut bagi memberikan peluang kepada rakyat menikmati harga yang lebih berpatutan dan kesemua 23 PJH terlibat juga menyambut baik hasrat kerajaan untuk memberikan Pakej Rahmah Haji kepada masyarakat Islam.

“Kesemua 23 PJH yang diberikan lesen oleh pihak TH telah melalui proses penilaian yang agak ketat dan orang ramai diseru hadir sendiri ke karnival ini bagi mendapatkan maklumat yang mendalam berkaitan tawaran pakej haji yang sah,” jelasnya.

Sementara itu, Direktori PJH turut dilancarkan semasa majlis perasmian karnival PJH baru-baru ini sebagai rujukan untuk bakal jemaah haji.

Majlis perasmian karnival yang bertemakan “Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji” juga disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook Tabung Haji.

 

Sumber foto: Facebook Tabung Haji

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.