24 Mac 2023, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, al-Quran dan hadis perlulah difahami secara bersama dan menjadi tunjang bagi menegakkan agama Islam.

Hal ini dikatakan demikian kerana hadis merupakan sumber dalil hukum yang utama dalam Islam selepas al-Quran.

“Tanpa hadis, syariat Islam itu tidak dapat difahami dalam konteks yang menyeluruh kerana hadis merupakan huraian terhadap apa-apa yang terkandung dalam al-Quran,” titah baginda.

Tambah Tuanku Raja Muda Perlis, “Dalam usaha mempelajari ilmu berkenaan dengan hadis, terdapat disiplin ilmu yang perlu difahami sebelum sesuatu hadis itu boleh diamalkan dalam kehidupan atau diajarkan kepada masyarakat umum.”

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada sebanyak 90 orang asnaf terpilih dalam program yang diadakan di Masjid Al-Ehsan, Kampung Darat Beseri, baru-baru ini.

Sebanyak 68 penerima terdiri daripada kalangan anak kariah Kampung Darat dan 22 lagi penerima dari Kariah Beseri Sungai Paya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih di Kampung Darat Berseri, baru-baru ini.

Setiap seorang menerima RM700 dengan jumlah penuh pada kali ini sebanyak RM63 000.

Terdahulu daripada itu diadakan juga saringan pemeriksaan kesihatan melibatkan semua penerima dan Ceramah Promosi Gaya Hidup Sihat yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri melalui tema pada kali ini, “Perlis Hebat! Rakyat Hidup Sihat Sejahtera”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.