Oleh Suria Janib
23 Februari 2023, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Hikmah peristiwa Israk Mikraj bukan sekadar mengikuti kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW, tetapi ibrah peristiwa besar ini berkaitan dengan kehidupan manusia yang mempunyai maksud yang tersurat yang perlu dihayati dan diamalkan oleh umat Islam.” Demikian menurut penceramah bebas serta panelis TV3, TV9 dan TV AlHijrah, Ustaz Roslan Mohamed.

Beliau yang juga mantan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM) berkata, peristiwa tersebut mempunyai maksud yang tersurat dan memberikan jawapan terhadap kerangka kehidupan semasa yang meliputi aspek moral, akhlak, politik dan ekonomi. Katanya,

Israk Mikraj merupakan mukjizat agung kedua yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW selepas mukjizat al-Quran, iaitu setiap ayat, kalimah dan hukum-hakam dalam al-Quran datangnya daripada Allah. Allah mencabar orang kafir Quraisy untuk membawa kitab yang serupa seperti al-Quran, tetapi mereka tidak mampu menciptanya. Mukjizat al-Quran jika dibaca dan diperdengarkan mampu menusuk ke dalam hati.

Ustaz Roslan Mohamed ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Hikmah Israk Mikraj” di DBP, semalam.

Peristiwa Israk Mikraj juga menggambarkan mukjizat agung kerana berada di luar kotak pemikiran manusia.  [Israk Mikraj merupakan peristiwa perjalanan Nabi Muhammad SAW pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, seterusnya naik ke Sidratulmuntaha, lalu kembali ke Makkah pada malam yang sama, yang berlaku pada 27 Rejab tahun ke-11, selepas Baginda dilantik menjadi rasul (tiga tahun sebelum hijrah)]. Katanya,

Peristiwa yang pelik ini menggambarkan perjalanan panjang yang ditempuh oleh Nabi Muhammad SAW sejauh beribu-ribu kilometer yang tidak pernah berlaku kepada nabi-nabi yang lain. Peristiwa ini benar-benar berlaku seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Isra’ ayat 1 hingga 4.

Yang penting, ibrah di balik peristiwa ini menunjukkan kehidupan ini memerlukan perubahan dengan kekuatan agama, pengisian ilmu, iman, akhlak dan amal ibadat.

Kita tidak memijak bumi dan menongkat langit sampai bila-bila kerana kita akan kembali kepada Allah Azzawajalla. Inilah neraca kita kepada Allah SWT.

Tegasnya, setakat mana nilai keabdian kita kepada Allah SWT? Untuk mendalamkan keimanan dan ketakwaan, inilah neraca pertama manusia menerusi Israk Mikraj. Nabi yang menyeru untuk mentauhidkan Allah dan mengingatkan konsep dosa dan pahala. Namun demikian, nabi dikatakan gila dan seruan Baginda ditolak mentah-mentah oleh penduduk Quraisy, Makkah. Sebaliknya, nabi ditawarkan dengan pangkat dan kedudukan, harta dan wanita yang cantik, malah dijanjikan akan diangkat menjadi raja yang berkuasa.

Nabi Muhammad mengatakan bahawa hal tersebut bukan urusan Baginda, tetapi tujuan dakwahnya adalah untuk menguatkan iman dan membina ketakwaan kepada Allah. Penduduk Makkah menolak nabi dengan pelbagai cara sehingga nabi dihalau dari Kota Makkah.

Selepas kemangkatan bapa saudaranya, Abi Talib dan isteri tercinta nabi, Siti Khadijah r.a., nabi dihalau sehingga tinggal sebatang kara menuju kota Taif. Di situ juga seruan nabi ditolak oleh penduduk Taif. Kemudian nabi mengadu dengan linangan air matanya yang mulia kepada Allah. Nabi menenangkan diri kerana dibenci oleh penduduk tempatan. Baginda meratap dan merayu kepada Allah dengan berkata, “Aku lemah dan hina pada pandangan manusia, ya Allah.”

Menurut Ustaz Roslan, nabi kita yang mulia ini melalui kehidupan yang sangat perit untuk menguatkan akidah manusia. Kita memerlukan syafaat Nabi Muhammad di Padang Mahsyar kerana pada hari akhirat nanti, keluarga tidak akan mengenali diri masing-masing. Mereka sibuk dengan urusan untuk mencari dan mendapatkan syafaat Nabi Muhammad. Katanya,

Ketika itu, insan yang akan menolong menenangkan kita ialah insan bernama Muhammad. Hanya Nabi Muhammad yang mampu memberikan syafaat ini. Nabi kekal dalam perjuangannya walaupun Baginda dicerca, dimaki, disakiti, malah, dihalau dari tempat kelahirannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Aku paling sayang dan rindu kepada umatku selepas aku wafat.” Sahabat kehairanan kerana merekalah sahabat yang paling banyak bertungkus-lumus membantu nabi dalam perjuangan. Jawab Baginda, “Kausahabatku yang aku kenal, tetapi umatku yang terkemudian tidak pernah berjumpa dengan aku, tetapi mereka kasih kepada aku.”

Menurut Ustaz Roslan, kita diseru untuk menjaga iman, takwa, memelihara akidah dan menjaga amal soleh dengan penuh keinsafan tanpa lalai semata-mata untuk  mendapatkan syafaat dan membayar harga perjuangan Nabi Muhammad SAW. Katanya,

Perjalanan Israk Mikraj nabi bermula dari masjid ke masjid menunjukkan masjid tempat untuk mendapatkan kebahagiaan, ketenangan dan keredaan daripada Allah. Jika umat Islam menjauhkan masjid, maka pintu keberkatan dan kebahagiaan akan tertutup, malah perkara buruk akan terus melanda umat Islam.

Rangka syurga dan neraka itu lebih dekat daripada tapak selipar yang kita pakai, iaitu dalam kehidupan harian kita tidak lari daripada balasan syurga atau neraka.

“Dalam peristiwa Israk Mikraj juga, nabi menerima arahan kewajipan solat daripada Allah SWT. Solat menjadi tiang kehidupan dan benteng agama manusia. Solat sebagai kewajipan yang qat‘i sehingga seseorang itu meninggal dunia atau disembahyangkan sebelum dikebumikan,” jelasnya lagi semasa memberikan ceramahnya di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, semalam.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.