Oleh Syaza Wardina
9 Februari 2023, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan hasrat membudayakan pembacaan al-Quran dalam kalangan warga sekolah dan mengaplikasikan amalan nilai-nilai keinsanan dalam kehidupan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menganjurkan program KL Gema al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023, pada 7 hingga 9 Februari 2023.

Murid dibimbing oleh fasilitator dalam kumpulan.

Program ini melibatkan murid tahun enam serta fasilitator dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan dilaksanakan secara hibrid. Sebanyak 2000 murid dari sekolah kebangsaan dan 1000 murid dari Sekolah Rendah Agama JAWI serta fasilitator yang terdiri daripada 350 orang guru Pendidikan Islam terlibat dalam program ini secara bersemuka.

Program ini juga dipancarkan terus dan diikuti serentak oleh sekolah-sekolah di WPKL yang melibatkan sebanyak 292 buah sekolah di bawah pentadbiran JPWPKL dengan jumlah murid Islam sebanyak 140 922 orang dan dipancarkan juga ke 80 buah sekolah di bawah pentadbiran JAWI. Selain itu, masyarakat umum boleh mengikuti program ini secara langsung melalui YouTube dan TV JPWPKL, serta saluran Facebook JPWPKL, Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah (PEKDIS), SPI JPWPKL dan Facebook sekolah.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir

Pada Majlis Perasmian Penutupan KL Gema al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung pada 9 Februari 2023 di Masjid Wilayah Persekutuan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merangkap Ahli MAIWP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata,

Al-Quran ialah kalamullah yang mulia. Membacanya merupakan satu daripada perlakuan ibadah dan kita sebagai umat Islam sangat beruntung kerana setiap bacaan pasti dijanjikan pahala oleh Allah SWT dengan mengganjari hamba-Nya yang membaca al-Quran dengan pahala pada setiap huruf yang dilafazkan. Justeru marilah kita bersama-sama merebut peluang ini untuk memperbanyak bacaan al-Quran lebih-lebih lagi dalam menanti saat tibanya Ramadan.

“Program seperti ini merupakan satu pendekatan yang sangat baik kepada murid khususnya murid tahun enam di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan bagi pemerkasaan karamah insaniah. Hal ini selari dengan Teras 2 Kementerian Pendidikan Malaysia, yang menitikberatkan elemen karamah insaniah melalui pembentukan murid beradab, berakhlak dan berintegriti. Sudah pasti kitab al-Quran merupakan kitab yang masih relevan untuk dijadikan sebagai sumber didikan,” ujar beliau.

Puan Hajah Norhayati Haji Ab Wahab

Menurut Pengarah Pendidikan JPWPKL, Puan Hajah Norhayati Haji Ab Wahab melalui ucapan alu-aluan beliau, “Program ini amat besar dan bermakna bagi kami demi mencapai objektif Pendidikan Islam dan program j-QAF yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak tahun 2005.” Beliau menjelaskan, objektif tersebut merupakan wadah Pendidikan Islam di JPWPKL dan program KL Gema al-Quran ini merupakan program utama yang akan mengangkat kemuliaan insan melalui pendekatan al-Quran sebagai panduan pembentukan adab, nilai, integriti serta kepimpinan murid.

Objektif utama yang dimaksudkan oleh Puan Hajah Norhayati adalah seperti berikut:

  • Membudayakan amalan membaca Al-Quran bagi mendidik jiwa dalam kalangan warga sekolah khasnya dan warga Kuala Lumpur amnya seterusnya mewujudkan persekitaran karamah insaniah melalui pembacaan al-Quran dan penghayatan pembudayaan al-Quran.
  • Melahirkan murid yang mampu khatam al-Quran dengan bacaan baik, dapat menghayati bacaan al-Quran serta membudayakan amalan dan suruhan al-Quran dalam kehidupan seharian.
  • Meningkatkan peratus peningkatan khatam al-Quran bagi murid yang tercicir dalam khatam al-Quran dan memberikan pengiktirafan serta penghargaan kepada murid dan guru yang telah berusaha membawa murid ke arah kejayaan yang cemerlang dunia dan akhirat.
Persembahan qiraat al-Sab’ah bi taranum oleh tiga orang guru Pendidikan Islam WPKL.

Majlis Perasmian Penutupan KL Gema al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 turut disempurnakan dengan persembahan taranum oleh Murid Berkeperluan Pendidikan Khas, Muhammad Adib Iskandar Mohd Zamrie, Majlis Khatam al-Quran Perdana dan persembahan qiraat al-Sab’ah bi taranum yang disampaikan oleh tiga orang guru Pendidikan Islam WPKL.

Yang turut hadir ialah wakil rasmi Pengarah JAWI, YBrs. Dr. Mursilalaili Mustapa Sa’di, pegawai pendidikan daerah, guru dan murid WPKL. Program ini turut menampilkan rakan strategik, iaitu JAWI, MAIWP, Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah, Universiti Teknologi Malaysia, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Masjid Wilayah Persekutuan, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia WPKL, Persatuan Guru Besar Malaysia WPKL, al-Ikhlas Gadjet, Badan Kebajikan Islam Telekom, Majlis Permuafakatan Wakaf Antarabangsa, Radio Televisyen Malaysia, TV AlHijrah, Radio IKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan PEKDIS WPKL.

Peserta dan tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Penutupan KL Gema al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 .
Foto: Mohd Farid Janudin dan Mohamad Adib Zulkifli

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.