6 April 2023, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila diutus oleh Allah SWT menjadi rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW telah membawa satu perubahan yang besar dalam kehidupan umat manusia. Risalah Islam dan al-Quran yang disampaikan oleh Baginda sebagai kitab panduan hidup bagi umatnya mestilah dipegang dan diikuti dengan sebaik-baiknya.

Satu hal yang harus difahami bahawa al-Quran merupakan firman daripada Allah SWT, Tuhan sekalian alam, bukan karangan manusia seperti yang difitnahkan oleh sesetengah pihak. Al-Quran merupakan nur yang menyuluh segenap urusan dunia, khususnya makhluk bernama manusia.

Dalam al-Quran, terkandung ayat-ayat yang menceritakan tentang sejarah umat terdahulu. Secara anatomi, al-Quran mengandungi 114 surah dan sempurna diwahyukan oleh Allah SWT dalam tempoh kira-kira 23 tahun di Makkah dan di Madinah. Kitab suci ini juga merupakan kitab samawi terakhir yang diturunkan kepada nabi akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad SAW. Kitab berupa mukjizat akhir zaman ini lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia seperti perihal agama, kehidupan, cakerawala, sejarah, sains, doa, zikir dan undang-undang (syariat).

Al-Quran memaparkan pelbagai kisah umat terdahulu untuk direnung dan dijadikan pengajaran buat umat manusia.

Contohnya, peristiwa bulan Rejab, iaitu bulan yang dimuliakan oleh Islam dengan amalan sebagai persiapan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Beberapa peristiwa penting bulan Rejab seperti peristiwa Israk dan Mikraj ada dicatatkan dalam Surah al-Isra’. Peristiwa ini menjadi detik penting bagi menguji ketakwaan orang Islam pada zaman itu dan masa ini. Malah, Israk Mikraj menjadi penghubung kepada peristiwa pembukaan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam pada zaman Sayidina Umar al-Khattab.

Al-Quran yang mengandungi 6666 ayat mempunyai signifikan, iaitu maklumat budaya dan peradaban manusia terangkum seluruhnya untuk dianalisis bagi golongan yang mahu berfikir dan jatuh cinta akan al-Quran. Segala peristiwa yang berlaku terhadap umat terdahulu direkodkan dalam al-Quran dengan pengisahan yang padat, tepat serta mempunyai sistem atau struktur dan susunan bahasa berdasarkan prinsip pendokumentasian yang sempurna, iaitu terdapat lokasi, era masa, manusia dan kesan serta punca sebab dan akibat daripada sesuatu kejadian atau peristiwa yang dapat dibuktikan secara arkeologi. Hal ini merupakan satu daripada cara Allah SWT secara langsung mengajar manusia hidup dengan kepekaan terhadap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan.

Rakaman kejadian atau peristiwa ini merupakan perkara yang benar-benar terjadi pada masa lalu yang dibangunkan kembali melalui pentafsiran para ulama tafsir. Kisah yang berkisar tentang sejarah bangsa umat terdahulu berguna sebagai teladan, cerminan (refleksi), perbandingan dan pengajaran dari zaman Rasulullah SAW hingga kini. Allah SWT juga mengarahkan supaya diberikan perhatian dan dipelajari tentang umat terdahulu melalui firman-Nya yang bermaksud,

Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka itu terdapat contoh dan teladan bagi mereka yang mempunyai fikiran dan hati.

(Surah Yusuf 12:111).

Al-Quran memaparkan pelbagai kisah umat terdahulu untuk direnung dan dijadikan pengajaran buat umat manusia. Kisah-kisah ini semuanya melibatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan wajib disembah. Manna’ al-Qattan telah membahagikan kisah al-Quran kepada tiga jenis mengikut watak atau pelakunya:

Pertama: Kisah para nabi terdahulu. Kisah-kisah ini mengandungi elemen dakwah para nabi yang mengajak atau menyeru umat agar mentauhidkan Allah SWT dan menghindarkan diri daripada perbuatan syirik. Mukjizat daripada Allah SWT diberikan kepada para nabi sebagai bukti kerasulan dalam proses berdakwah kepada umat Islam.

Kisah-kisah ini turut menceritakan tentang sikap orang kafir yang menentang dan menghalang proses dakwah nabi, serta balasan bagi mereka yang beriman dan kaum yang berpaling daripada ajaran nabi. Antara kisah dakwah para nabi yang disebutkan dalam al-Quran termasuklah kisah Nabi Ibrahim a.s., Nabi Isa a.s., Nabi Nuh a.s. dan Nabi Musa a.s.

Kedua: Kisah yang berhubung dengan peristiwa masa lalu, seperti kisah kerajaan Saba’, Talut dan Jalut, Ashab al-Kahfi, Raja Zulkarnain dan Qarun. Kisah-kisah ini amat penting dan berperanan sebagai pengajaran buat manusia seluruhnya. Allah SWT mendatangkan kisah umat terdahulu sebagai sebuah penceritaan watak manusia yang ada pada setiap zaman. Walaupun kisah tersebut sudah berlaku sekian lama, namun watak di sebalik kisah tersebut masih ada pada setiap zaman hatta hingga kiamat.

Sebagai contoh, kita mungkin sudah berkali-kali mendengar kisah tentang Nabi Musa a.s dan Firaun. Menariknya daripada kisah ini, watak dan sifat Firaun sebagai seorang manusia yang angkuh dan merasakan dirinya “tuhan” itu masih dapat dilihat hingga hari ini. Begitu juga dengan watak Qarun, seorang kaya yang lupa diri setelah mendapat kesenangan dan kemewahan, kisah pasukan Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah, dan kisah keadilan Raja Zulkarnain memerintah kerajaannya.

Ketiga: Kisah yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW seperti kisah Perang Badar yang menceritakan tentang mukjizat daripada Allah SWT sehingga umat Islam berjaya memerangi kaum musyrikin, kisah Perang Uhud dalam Surah Ali ‘Imran, Perang Hunain dan Perang Tabuk dalam Surah al-Tawbah, dan perjalanan Isra’ dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa.

Gambaran kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW ini membolehkan umat Islam mengetahui peristiwa yang berlaku pada zaman awal Islam serta dapat mengenali susuk tubuh seorang nabi akhir zaman dengan lebih mendalam.

Penceritaan al-Quran tentang peristiwa dan sifat Rasulullah SAW ini telah membuka satu lembaran pengkajian ilmu sejarah yang komprehensif dalam dunia Islam. Dari situlah lahirnya karya-karya awal berbentuk sirah dan maghazi sebagai alternatif untuk mengenali Rasulullah SAW dengan lebih dekat.

Jika dilihat dan ditelusuri kisah-kisah sejarah yang terkandung dalam al-Quran, kita akan dapati bahawa beberapa tokoh yang ditonjolkan tidak diceritakan secara terperinci tentang latar belakang mahupun nama mereka seperti kisah Zulqarnain, Ashab al-Kahfi dan Ashab al-Ukhdud. Al-Quran tidak menerangkan siapakah mereka. Hal ini bertujuan agar manusia tidak menyibukkan diri dan menghabiskan masa mengkaji tokoh itu dan lupa tujuan yang lebih utama, iaitu untuk mengambil iktibar daripada kisah berkenaan.

Watak-watak yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran menjadikan kisah sejarah umat terdahulu sentiasa relevan sepanjang zaman.

Kisah atau sejarah yang dimuatkan dalam al-Quran mempunyai beberapa tujuan yang tersendiri, iaitu bagi meyakinkan manusia bahawa al-Quran bukanlah karya ciptaan manusia atau hasil daripada manusia, sebaliknya merupakan firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. Mukjizat al-Quran dari segi keindahan gaya bahasanya juga mencerminkan bahawa tiada manusia yang dapat menandinginya.

Satu lagi aspek menarik tentang kandungan sejarah dalam al-Quran ialah semua kisahnya berkisar tentang keimanan dan ibadat. Ciri ini juga telah membentuk falsafah sejarah Islam yang bersifat syumul dari aspek emosi, pemikiran dan fizikal. Allah SWT mendatangkan kisah-kisah dakwah dan seruan para nabi agar manusia kembali kepada ajaran agama yang sebenar. Kisah-kisah ini berperanan untuk mengingatkan manusia akan adanya bahaya penyesatan atau kekufuran oleh syaitan sejak Nabi Adam a.s.

Sejarah bertujuan untuk memberikan penjelasan bahawa adanya pahala bagi mereka yang melaksanakan perintah Allah, dosa bagi mereka yang melanggarnya, nikmat dalam kehidupan, adanya hari kiamat, dan adanya kehidupan selepas kematian di akhirat seperti syurga dan neraka. Dengan adanya penjelasan sejarah ini diharapkan manusia semakin meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan memperbanyak ibadat. Al-Quran memaparkan tentang betapa banyak kaum yang dibinasakan Allah SWT disebabkan kekufuran mereka sendiri. Pencapaian hebat mereka dalam pembinaan, pentadbiran dan urusan hal ehwal kehidupan bukanlah suatu hal yang perlu dibanggakan jika mereka tidak beriman kepada Allah. Natijahnya, Allah SWT tidak melihat pencapaian fizikal mereka semata-mata, tetapi ketakwaan yang diambil kira disisi-Nya.

Bertitik tolak daripada hal ini juga, watak-watak yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran ini menjadikan kisah sejarah umat terdahulu sentiasa relevan sepanjang zaman. Menjadi satu keperluan kepada kita untuk menjadikan kisah dalam al-Quran sebagai sumber motivasi dalam menjalani kehidupan, pengajaran agar menjadi manusia yang lebih baik, pengubat kesedihan, penyembuh keperitan ujian hidup, peneguh jiwa dan hati, serta penunjuk kepada jalan yang lurus. Tanpa kita sedari, al-Quran menjadi penyubur jiwa yang hidup.

Membaca al-Quran seperti kita membajai tumbuhan yang diperlukan oleh manusia sebagai makanan, dan al-Quran pula ibarat “makanan” bagi rohani. Bagi sesiapa yang sudah mengamalkannya, semoga anda terus istiqamah. Bagi yang belum memulakan, ayuh kita mulakan saat ini juga. Allah sentiasa memberikan kita peluang dan ruang untuk mencintai dan menjadikan al-Quran sebagai nadi kehidupan kita. Kelak, apabila kembali kepada-Nya, al-Quran juga yang akan menjadi pembela kita.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.