8 April 2023, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Al-Quran ialah kitab samawi dari langit yang terakhir diturunkan kepada penutup segala nabi dan rasul, iaitu Muhammad bin Abdullah. Telah terbukti, daripada ayat pertama turun ke dunia, al-Quran menjadi panduan kepada jutaan manusia hinggalah ayat yang terakhir, tetap akan digunakan sampai dunia berakhir. Pada hakikatnya, al-Quran telah menimbulkan keyakinan bagi manusia sejagat bahawa kitab ini merupakan perkataan Tuhan yang Maha Pemurah dan merupakan kitab yang luar biasa.

Isu seperti al-Quran dibakar, dipijak dan dihina malah terdapat cubaan menukar surah, baris serta ayat telah berlaku semenjak sekian lama. Bermula penurunannya di Gua Hira’ penduduk Makkah yang tidak percaya menyatakan al-Quran ialah perkataan manusia serta reka cipta Muhammad. Tidak kurang yang menyatakan kitab tersebut ialah percakapan syaitan dan menganggap Nabi SAW sebagai orang gila. Penolakan terhadap kitab suci umat Islam ini berterusan pada setiap zaman dan tempat mengikut pelbagai cara.

Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk umat akhir zaman.

Walaupun demikian, umat pada akhir zaman ini tidak dapat menafikan mereka boleh lari daripada kitab al-Quran yang menjadi bacaan, menghimpunkan berbagai-bagai perkara, mengandungi pelbagai kebaikan dan yang menguatkan kebenaran. Sedar atau tidak sedar, suka atau tidak, beriman atau kufur, anugerah kemuliaan kepada umat ini adalah dengan sebab penurunan al-Quran kepada mereka.

Syeikh Abdullah Abdul Qadir At-Talidy, seorang ahli hadis yang berasal dari Maghribi menulis dalam Manaqibul Ummah Muhammadiyyah wa Khasaisuha, menerangkan kehebatan dan kemuliaan umat Muhammad SAW serta kelebihan mereka. Beliau menyatakan dengan penuh halus serta teliti bahawa antara keistimewaan umat ini adalah dengan diturunkan al-Quran kepada mereka yang merupakan kitab yang paling mulia antara kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT.

Jika kita renungi syariat umat terdahulu adalah dengan diturunkan ke atas para nabi a.s. suhuf dan kitab. Paling terkenal antaranya termasuklah kitab Taurat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa a.s., kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Dawud a.s. dan kitab Injil kepada Nabi Isa a.s. yang merupakan kesudahan nabi daripada kalangan Bani Israil. Maka itu, datanglah kitab yang terakhir, iaitu al-Quran sebagai penutup bagi umat akhir zaman ini yang merangkumi keseluruhan dan menghimpun seluruh kandungan serta tambahan bagi kitab-kitab terdahulu.

Allah SWT telah himpunkan dalam al-Quran ilmu-ilmu manusia yang terawal dan manusia yang terakhir. Padanya terdapat surah-surah dan ayat-ayat unggul malah ada yang tidak terdapat daripada mana-mana kitab yang terdahulu. Penulis cuba membawakan satu contoh ilmu luar biasa manusia pada zaman Nabi Sulaiman a.s. yang sewajarnya menjadi panduan kepada umat Islam khasnya untuk lebih beriman dengan kalam Allah SWT.

Ayat 38 hingga 40 Surah al-Naml yang bermaksud semut menceritakan Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada pembesar baginda yang terdiri daripada golongan jin dan manusia, siapakah yang sanggup membawa singgahsana Balqis sebelum rombongan mereka sampai? Zaman baginda tersebut telah diturunkan kitab Zabur kepada Nabi Dawud a.s. dan sebelum itu kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.

‘Ifrit daripada golongan jin menyatakan bahawa dia dapat membawa singgahsana itu kepada Nabi Sulaiman sebelum baginda berdiri dari tempat duduk kerana dia benar-benar kuat untuk membawanya dan dapat dipercayai. Namun begitu, seorang manusia yang mempunyai ilmu daripada al-kitab menyatakan dia dapat membawa singgahsana itu lebih cepat lagi, iaitu sebelum mata baginda berkedip. Perkara itu telah berlaku sekelip mata.

Jika melihat kepada Tafsir Jalalain, dinyatakan bahawa manusia yang disebutkan dalam ayat 40 itu bernama Ashaf bin Barkhiya, iaitu jurutulis Nabi Sulaiman. Beliau merupakan seorang yang memiliki sifat siddiq yang sangat membenarkan dan mengetahui ism al-a‘zam iaitu nama Allah yang teragung. Imam Mujahid menyatakan Ashaf bangkit kemudian berwuduk serta berdoa kepada Allah SWT dengan nama-Nya “Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram”, lalu sekelip mata singgahsana itu muncul di hadapan Nabi Sulaiman.

Lantaran luar biasa 99 nama ini, sesiapa yang berdoa dengannya maka akan dimakbulkan dan jika meminta dengannya maka akan dipenuhi oleh Allah SWT seperti dalam ayat 180 Surah al-A‘raf. Talib Samat dalam buku 99 Nama Allah yang Termasyhur menyatakan para ulama berpendapat nama-nama Allah itu berjumlah 3000 nama. Sebanyak 1000 nama diketahui oleh para malaikat, 1000 nama oleh para nabi, 300 nama dalam Taurat, 300 nama dalam Zabur, 300 nama dalam Injil dan 99 nama dalam al-Quran. Satu nama lagi, iaitu Allah mencakupi segala-galanya, merupakan lafaz yang Maha Mulia, merupakan nama daripada zat Ilahi yang Maha Suci serta wajib pada-Nya berhak memiliki semua macam pujian dan sanjungan.

Profesor Syed Hussin al-Attas menyatakan,

Bagi membangunkan kesedaran dan membentuk semangat yang sihat, maka perlu dihidupkan unsur-unsur yang membawa kemajuan. Jika kita selidiki unsur-unsur yang dititikberatkan oleh Islam, maka nyatalah bahawa sebenarnya unsur-unsur itulah yang pada umumnya diperlukan bagi kemajuan. Akarnya unsur ini ialah sifat-sifat Tuhan yang dinamakan al-Asmaul Husna (nama-nama Allah yang termasyhur). Manusia itu disuruh supaya menghidupkan sifat ini dalam dirinya.

Ilmu manusia akhir zaman ini pula seperti boleh terbang di udara menyerupai burung yang mengepakkan sayapnya boleh dilihat dalam Surah al-Mulk ayat 19 yang bermaksud, “Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”

Justeru itu, dunia berterima kasih kepada Abu al-Qasim ‘Abbas ibn Firnas ibn Wardus lebih dikenali Ibn Firnas yang menjadi manusia yang pertama mencipta alat peluncur terbang dan terbang dari menara Masjid Cordoba Andalusia. Dalam dunia penerbangan, nama beliau begitu masyhur sebagai pelopornya. Hingga kini pelbagai jenis kapal terbang, jet dan roket dan reka bentuk telah dicipta oleh manusia. Pesawat ini digunakan untuk pelbagai tujuan dan manfaat untuk manusia.

Surah al-Fatihah merupakan surah teragung dalam kitab terakhir.

Menariknya al-Quran yang diturunkan kepada umat Muhammad SAW ini juga terdapat padanya Surah al-Fatihah, iaitu surah teragung dalam kitab terakhir yang tidak diturunkan dalam kitab Taurat dan Injil dan tidak juga seumpama kedua-duanya seperti sabda Nabi Muhammad SAW, bahawa al-Quran mengandungi al-Zahrawan, iaitu Surah al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran yang akan datang pada hari kiamat seumpama dua gumpalan awan yang memayungi tuannya.

Di samping itu, al-Quran turut terkandung padanya ayat Kursi, iaitu ayat yang paling afdal atau utama. Selain itu, Surah al-Ikhlas yang menyamai 1/3 al-Quran, Surah al-Nasr, Surah al-Kafirun dan Surah al-Zalzalah menyamai 1/4, . Padanya juga terdapat dua surah perlindungan al-mu‘awwizatain yang tiada bandingannya, iaitu Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, manakala penutup Surah al-Baqarah, sesiapa membacanya pada malam hari memadai baginya. Padanya surah yang dimulai dengan huruf-huruf yang terpotong seperti Alif Lam Mim, Yaasin, Toha dan lain-lain merupakan rahsia Allah SWT.

Imam al-‘Izz Abdul Aziz Abdul al-Salam al-Sulami dalam kitabnya, Bidayah al-Sul fi Tafdil al-Rasul menyatakan Allah SWT telah berkata-kata melalui wahyu yang diturunkan kepada Nabi SAW dengan pelbagai cara, iaitu mimpi yang benar, berkata-kata tanpa melalui perantara dan dengan perantara, iaitu Malaikat Jibril a.s. Beliau menambah bahawa al-Quran ialah kitab yang mengandungi apa-apa yang terkandung dalam Taurat, Injil dan Zabur serta diberikan kelebihan dengan surah-surah mufassal. Begitulah hadis yang diriwayatkan oleh Wathilah bin al-Ashqa’ bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Diberikan kepadaku menepati Taurat tujuh surah yang panjang, diberikan kepadaku menepati surah Zabur 200 ayat, diberikan kepadaku menepati Injil, al-Mathani yang diulang-ulang dan aku dilebihkan dengan al-mufassal.”(Al-Targhib wa al-Tarhib, no. 2/312).

Surah panjang ialah Surah al-Baqarah hingga Surah al-Baraah atau Surah al-Tawbah dengan dijadikan Surah al-Anfal sebahagian daripada Surah al-Tawbah. Surah al-Fatihah pula ialah surah yang menerangkan al-Quran seluruhnya atau surah-surah kurang daripada 100 ayat serta al-mufassal ialah surah-surah pendek daripada Surah al-Hujurat hingga Surah al-Nas.

Selain itu, terdapat nas-nas mengenai keadaan dan sifat kalam Allah ini serta julangan ketinggian apa-apa sahaja yang membawa kepada pengagungannya. Al-Quran juga mendorong supaya manusia memberikan perhatian besar, tumpuan, menghafaz, memahami dan beramal dengannya. Di samping kehidupan berlandaskan manhajnya dan berhukum kepadanya, manusia juga dituntut memimpin berpandukan al-Quran. Kita dituntut untuk bersangatan mencintainya, mengasihi Tuhan yang menurunkannya dan Nabi SAW yang diturunkan ke atasnya al-Quran tersebut.

Antara nas yang datang menjelaskan sifat mukjizat ini ialah ayat-ayat berikut yang indah dan menarik, iaitu firman Allah SWT dalam al-Maidah ayat 15 dan 16 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) daripada Allah, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”

Mulianya umat akhir zaman ini adalah dengan sebab diturunkan al-Quran kepada mereka. Pelbagai objektif, peranan dan fungsi al-Quran yang membuktikan keistimewaannya sebagai kalam Allah dan merupakan anugerah yang tidak terhingga kepada umat manusia. Kitab panduan, pemberi keterangan serta yang membezakan hak dan batil ialah mukjizat yang kekal sepanjang zaman.

 

SALAM NUZUL AL-QURAN 1444H


Haji Muhammad Imran Haji Ibrahim ialah Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan dan Pentadbiran, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.