10 April 2023, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menganjurkan program Iftar Rahmah Ramadan 1444H sepanjang bulan Ramadan tahun ini, dengan peruntukan sebanyak RM4.0 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program ini diadakan di 70 buah masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, “Sebanyak 21 300 pek makanan diagihkan kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan pada setiap hari.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menyempurnakan gimik pelancaran Iftar Rahmah Ramadan 1444H, baru-baru ini.

“Sebanyak 63 ribu pek makanan berbuka puasa disediakan secara percuma sepanjang bulan Ramadan tahun ini,” jelas beliau.

“Semoga program ini memberikan peluang kepada MAIWP dan JAWI, serta rakan-rakan kerja di bawah agensi agama untuk merapatkan diri secara aktif dengan masyarakat,” katanya dalam majlis pelancaran Iftar Rahmah Ramadan 1444H, baru-baru ini.

JAWI dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Iftar Rahmah Ramadan 1444H berkonsepkan dapur umum yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-wilayah Persekutuan dengan menyediakan pek makanan pelbagai jenis menu juadah berbuka puasa setiap hari secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.

“Petugas masjid dan surau akan memasak juadah buka puasa secara gotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada golongan sasaran yang ditentukan dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam, B40, asnaf, petugas barisan hadapan, dan golongan yang memerlukan,” menurut kenyataan tersebut.

Program ini juga merupakan satu daripada inisiatif bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat di bawah agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.