7 April 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah 2:185)

Al-Quran ialah kalam Allah SWT yang mengandungi pelbagai mukjizat. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW bermula pada 17 Ramadan melalui perantaraan Jibril a.s. Wahyu kemudian disampaikan secara berperingkat-peringkat, dan menempuh dua fasa, iaitu di Makkah dan di Madinah selama 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari. Al-Quran merupakan kitab yang terjamin keasliannya serta terpelihara daripada segala bentuk penyelewengan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

KItab al-Quran merupakan mukjizat teragung yang terkandung di dalamnya pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi.

Al-Quran menjadi sumber rujukan dan panduan lengkap bagi seluruh aspek kehidupan manusia duniawi dan ukhrawi. Al-Quran disifatkan sebagai sumber keaslian ilmu. Di dalamnya terkandung khazanah pengetahuan yang lengkap meliputi segala perkara yang diperlukan oleh manusia untuk membina ketamadunan. Al-Quran juga mengandungi pelbagai ilmu, hukum-hakam, peristiwa dan kisah kejayaan, juga pelbagai cabaran, dugaan, ujian dan pembalasan yang dihadapi oleh umat terdahulu untuk dijadikan petunjuk akan kekuasaan Allah SWT. Sejarah memperlihatkan al-Quran berjaya menyinarkan cahaya panduan, mengeluarkan manusia daripada kepompong kegelapan dan kejahilan, menjadikan manusia insan berilmu dan berpengetahuan, dan berupaya mencorakkan keperibadian mulia sehingga manusia berjaya membangunkan peradaban masyarakat Islam yang hebat lagi agung.

Al-Quran juga menjadi penggerak dan pencetus terhadap perkembangan ilmu, dan pendorong kepada lahirnya para ilmuwan dalam pelbagai bidang seperti Abbas Ibn Firnas yang mempelopori ilmu penerbangan di Sepanyol selain mendalami ilmu kimia dan fizik; Abdul Rahman al-Sufi, cendekiawan Islam yang mengembangkan ilmu astronomi, mengkaji perjalanan matahari, bulan serta planet; dan al-Razi yang dikenali sebagai tokoh rujukan dalam bidang perubatan.

Sikap mencintai al-Quran, mendampingi, menjiwai dan menerokai isi kandungannya akan menjadikan seseorang itu beroleh banyak manfaat. Generasi sahabat dan para ilmuwan Islam sentiasa mengambil masa mempelajari dan menghayati isi kandungan al-Quran sehingga memberikan kesan yang sangat ajaib kepada jiwa mereka. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sad 38:29)

Orang yang selalu mendampingi al-Quran akan beroleh ketenangan dalam hidupnya.

Antara keutamaan yang ditekankan oleh al-Quran termasuklah pembacaan dan pembelajaran. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah iqra’, iaitu “membaca”. Perintah iqra’ bertujuan untuk melahirkan ummah yang memiliki kematangan berfikir, mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta sikap yang melambangkan masyarakat berilmu. Terdapat pelbagai ayat yang mengangkat kedudukan ilmu pengetahuan dan menghuraikan peranannya dalam kehidupan insan.

Al-Quran juga merupakan mukjizat teragung. Pelbagai ilmu terkandung dalam al-Quran, antaranya termasuklah falsafah, bahasa, syariat, matematik, sains, angkasa, bumi, pertanian, perairan, pengembaraan, pelayaran dan pemakanan yang menjadi bukti akan kebenaran al-Quran yang tidak diragukan sama sekali. Al-Quran mengajak manusia menggunakan akal untuk berfikir dan mata hati untuk merenungi hikmah setiap ciptaan Ilahi. Oleh sebab itu, terdapat beberapa orang cendekiawan bukan Islam yang mendapat hidayah untuk menerima Islam setelah menemui kebenaran fakta saintifik yang terkandung dalam al-Quran. Antaranya termasuklah:

Pertama: Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar perubatan Perancis, yang mengucap dua kalimah syahadah setelah menjalankan kajian terhadap mayat (mumia) Firaun yang ditenggelamkan di dalam lautan ribuan tahun dahulu. Penemuan kajian membuktikan punca kematian dan juga sisa garam yang terkandung dalam mayat Firaun bertepatan dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka pada hari ini Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar).”

(Surah Yunus 10:92)

Kedua: Dr. Atsushi Kamal Okuda, saintis dari Jepun yang memeluk Islam setelah meneliti sepotong ayat berkaitan dengan penciptaan manusia:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

(Surah al-Hijr 15:26)

Ketiga: Dr. Jeffry Lang seorang profesor Matematik yang berfahaman ateis (kepercayaan tiada Tuhan), terbuka hatinya mendalami Islam melalui kajian Surah al-Fatihah, kemudiannya beliau mengesan kandungan al-Quran benar datangnya daripada Tuhan, dan bukannya kitab tulisan manusia.

Al-Quran merupakan semulia-mulia kitab. Orang yang membacanya akan diganjari dengan kebaikan, dan mendengarnya mendamaikan jiwa. Al-Quran juga menjadi penyuntik semangat, penyembuh rohani, meningkatkan iman dan mampu mengubah sifat manusia menjadi lebih baik.

Oleh itu, disenaraikan beberapa kesimpulan dan saranan yang berikut:

Pertama: Al-Quran ialah sumber rujukan kehidupan manusia. Kitab ilmu yang mengandungi pelbagai pengajaran bagi orang yang bertakwa.

Kedua: Dampingilah al-Quran dan jadikannya teman hidup, walaupun hanya dengan membaca sepotong ayat setiap hari. Mulakan kehidupan harian dengan membaca sekurang-kurangnya sepotong ayat al-Quran, demikian juga sebelum tidur. Perbanyakan membaca al-Quran kerana kelak akan memberikan pertolongan di akhirat dan ketika bersendirian di alam barzakh.

Ketiga: Manfaatkan teknologi moden dalam pengajaran al-Quran atau wujudkan kaedah pengajaran yang menarik minat anak-anak mendalami al-Quran, menerokai isi kandungan dan mukjizatnya, serta mengamalkannya dalam kehidupan.

Anak-anak perlu dididik supaya mengenali al-Quran sejak kecil lagi.

 

Keempat: Di samping membaca dan menghafal, bimbing anak-anak mengenali maksud dan terjemahannya agar kandungan al-Quran dapat difahami lantas dihayati.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan al-Quran, bimbing kami untuk menjadikannya sebagai panduan kehidupan. Kurniai kami kekuatan untuk sentiasa membacanya setiap hari, menghayati isi kandungannya serta mengamalkannya dalam kehidupan kami. Dengannya Engkau memudahkan urusan kami, lapangkan jiwa kami, sembuhkan penyakit kami dan golongkan kami dalam kalangan orang yang bertakwa di sisi-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhkan negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks Khutbah Jumaat, 7 April 2023, bertajuk “Al-Quran: Sumber Ilmu – Mukjizat Teragung”, Majlis Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.