12 Februari 2023, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Al-Quran merupakan wahyu Allah SWT yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. sebagai panduan hidup yang lengkap bagi seluruh alam. Kitab al-Quran merupakan kitab suci agama yang dipelihara oleh Allah SWT sehingga akhir zaman sebagai tanda mukjizat dan kesuciannya. Selain berperanan sebagai petunjuk, al-Quran juga mempunyai peranan penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia.

Kitab suci al-Quran bukan hanya sekadar untuk dibaca dan dihafal oleh umat Islam, malah harus dikaji, diteliti dan dipelihara keluhurannya. Keluhuran al-Quran dapat dilihat melalui pelbagai dimensi seperti keindahan bahasa, susunan ayat yang berkait antara satu sama lain dan himpunan sejarah dunia yang terkandung dalamnya bermula daripada kisah Nabi Adam a.s. sehinggalah peristiwa hari kiamat.

Kitab suci al-Quran bukan hanya sekadar untuk dibaca dan dihafal oleh umat Islam, malah harus dikaji, diteliti dan dipelihara keluhurannya.

Namun demikian, terdapat golongan pelampau yang prejudis terhadap kesucian al-Quran sehingga sanggup menghina martabat kesucian kitab agung ini. Kitab suci ini diperlekehkan dan dihina di negara Barat oleh kelompok ekstremis yang menyebarkan mesej kebencian dan Islamofobia.

Isu Islamofobia telah menjadi satu norma di negara Barat seperti Amerika Syarikat sehingga mengakibatkan kes diskriminasi meningkat malah menyebabkan orang Muslim diancam dan kesucian agama Islam dihina. Layanan yang keji terhadap komuniti Muslim telah mengganggu keamanan dan kebebasan mereka untuk mengamalkan agama Islam di sana.

Kebencian orang Barat dalam kalangan ekstremis terhadap agama Islam bukan sekadar berkait dengan peristiwa Serangan 11 September yang berlaku di Washington pada tahun 2001, namun beberapa insiden turut berlaku di negara lain seperti Belanda, Sweden, New Zealand dan Finland. Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan tindakan melampau yang telah dilakukan oleh seorang pemimpin sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan. Paludan telah membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye yang terletak di Stockholm, Sweden, pada 21 Januari 2023 yang lalu. Tindakan dangkal oleh pelampau ini dianggap sebagai simbolik kebencian terhadap agama Islam serta dilakukan atas nama hak kebebasan bersuara.

Sehari selepas insiden di Stockholm, ahli politik dari Belanda, Edwin Wagensveld turut melakukan tindakan yang sama dengan memijak, mengoyak dan membakar al-Quran di hadapan The Hague yang terletak di Belanda. Pada masa yang sama, terdapat juga sebilangan daripada masyarakat di Eropah menyokong tindakan melampau yang dilakukan oleh Paludan atas suara hak kebebasan individu serta menyatakan tindakan tersebut tidak menyalahi undang-undang dan moral.

Malaysia sekeras-kerasnya mengutuk tindakan Paludan yang telah menimbulkan kemarahan seluruh umat Islam di dunia dengan tindakan tidak bertamadun tersebut. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diseru agar bertindak segera bagi menghentikan mesej kebencian yang disebarkan oleh Paludan terhadap agama Islam.

Negara Islam lain seperti Jordan, Yaman, Iraq, Turkiye dan Bangladesh turut bersama-sama menunjukkan kemarahan mereka terhadap tindakan melampau Paludan melalui perhimpunan demonstrasi besar-besaran. Ribuan manusia berhimpun dan berarak sambil membakar bendera Sweden sebagai tanda kemarahan umat Islam.

Kejadian yang berlaku di Stockholm itu bukan sekadar mendapat kecaman daripada kalangan umat Islam, namun turut dibantah oleh pemimpin dari negara bukan Islam seperti Finland. Menerusi laman sesawang rasmi Finland, pengumuman bahawa pembakaran terhadap kitab suci al-Quran yang telah dirancang untuk dilakukan buat kali kedua dihalang sekeras-kerasnya, beberapa hari selepas Paludan melakukan perbuatan terkutuk itu. Menurut laporan tersebut, tindakan membakar al-Quran akan mengakibatkan keamanan terancam dan dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh diambil tindakan undang-undang.

Dalam konteks ini, sangat wajar bagi seseorang Muslim untuk menterjemahkan kemarahan akan kelakuan Paludan yang dinilai sebagai tercela. Namun begitu, kemarahan perlu dizahirkan dengan tingkah laku yang bijaksana tanpa mengeji atau menghina agama lain agar tidak menimbulkan masalah yang lebih besar. Malaysia merupakan satu daripada negara yang mengambil langkah bijaksana dan berhikmah dalam usaha untuk memprotes tindakan Paludan. Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim memutuskan bahawa Malaysia akan mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan kepada seluruh dunia sebagai reaksi terhadap perbuatan terkutuk Paludan. Langkah ini merupakan metode bernada harmoni; kekerasan dibalas dengan kelembutan dengan hasrat menyaksikan inti pati al-Quran disampaikan ke serata dunia agar dibaca dan difahami.

Sebagai langkah bijaksana, seharusnya pemimpin dalam kalangan umat Islam perlu bersatu dalam menjaga keluhuran kitab suci al-Quran melalui usaha untuk menyebarkan nilai kemurnian dan keindahan yang terkandung dalam al-Quran. Dakwah dan mesej yang murni perlu disalurkan kepada individu mahupun organisasi yang mempunyai prejudis terhadap al-Quran agar perspektif mereka melihat al-Quran dari sudut positif.

Selain itu, pemimpin umat Islam juga boleh mendampingi golongan ekstremis melalui usaha dialog dan diskusi. Saluran politik dan diplomatik juga perlu digunakan secara optimum bagi menyuarakan usaha untuk menghentikan unsur penghinaan terhadap setiap agama.

Sebagai Muslim, memelihara al-Quran merupakan kewajipan yang perlu dipikul sebaik-baiknya. Adab bersama-sama al-Quran perlu dijaga dan boleh dilaksanakan melalui amalan bacaan harian, mempertingkat kualiti bacaan dari segi tajwid dan makhraj serta mendalami makna yang tersirat di sebalik setiap ayat.

Umat Islam perlu bersatu agar dapat bertindak segera dan mengambil tindakan bijaksana dalam memastikan kesucian al-Quran dipelihara serta dapat menghidupkan mesej keamanan dan rahmat untuk sekalian alam seperti yang terkandung dalam al-Quran.

Kredit Foto: Canva
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.