20 Januari 2023, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Simpang Empat – “Dalam konteks pendidikan anak-anak, maka guru-guru dan ibu bapa diseru agar terus-menerus berusaha menanam akhlak Islam yang mulia dalam diri anak masing-masing supaya lahir keluarga yang sejahtera. Apabila lahir keluarga yang sejahtera, maka sudah tentu masyarakat juga akan menjadi masyarakat yang sejahtera.”

DYTM Raja Muda Perlis bertitah dalam majlis penyerahan sumbangan zakat MAIPs.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM98 000 kepada sebanyak 140 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid, iaitu sebanyak 70 orang dari Masjid Al-Hidayah, Kampung Titi Beratap dan sebanyak 70 orang dari Masjid Jamek Kampung Binjal. Majlis tersebut diadakan di Masjid Al-Hidayah, Kampung Titi Beratap, Simpang Empat, Perlis, dan setiap seorang menerima RM700.

DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan zakat.

DYTM Tuanku Raja Muda juga berharap agar generasi masa hadapan negeri ini akan lebih terdidik dengan solat berjemaah kerana budaya solat berjemaah ini dapat membina ukhuwah dalam masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap keprihatinan masyarakat Islam terbina melalui solat jemaah. Oleh itu, masyarakat diseru agar bersama-sama mendidik anak masing-masing supaya cinta akan masjid.

Bersempena dengan program tersebut juga, aktiviti pemeriksaan kesihatan bertemakan “Perlis Hebat! Rakyat Perlis Hidup Sihat” juga telah dilaksanakan kepada para penerima sumbangan yang hadir dan dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.