Oleh Suyuthi Yusuf
14 Januari 2023, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau –  Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima kunjungan mengadap daripada pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarienya yang baharu, iaitu Yang Amat Arif Tuan Haji Jaidi Ahmad di Galeri DiRaja Istana Arau, Perlis.

Pada pertemuan itu, Raja Muda Perlis turut bertitah agar para Hakim Syarie harus bersedia meneroka dan membuat kajian undang undang khususnya bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah yang sedia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, di bawah Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, telah diperuntukkan perkara berkaitan dengan “pengangkatan”, tetapi mahkamah Syariah tidak diperuntukkan kuasa di bawah undang-undang negeri untuk mendengar kes pengangkatan orang-orang Islam kecuali di Sabah. Mungkin sudah tiba masanya untuk mahkamah syariah melaksanakan tugas ini.

 

Majlis Sembah Mengadap Hormat DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku YDP MAIPs oleh YAA Ketua Hakim Syarie dan Delegasi Yang Arif Hakim Syarie JKSNPs.

Baginda juga sebagai Yang DiPertua MAIPs mengingatkan semua Hakim Syarie agar menyediakan alasan penghakiman untuk setiap kes yang dibicarakan.

Alasan penghakiman yang disediakan hendaklah berkualiti, mempunyai autoriti yang kuat dan terkini dari segi undang-undang dan hukum syarak, supaya perkara ini akan menjadi rujukan kepada para hakim syarie di negeri Perlis dan negeri-negeri yang lain serta juga pengamal undang-undang di negara ini.

Raja Muda Perlis juga berharap supaya alasan penghakiman yang terbaik harus dan wajar disiarkan di laman web rasmi JKSNPs supaya masyarakat dapat mengambil iktibar daripada sebarang kes tersebut. YAA Tuan Haji Jaidi Ahmad juga dalam pertemuan itu telah mempersembahkan dokumen statistik kes tahunan JKSNPs bagi tahun 2022.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah pegawai kanan (JKSNPs), iaitu Hakim Mahkamah Tinggi, YA Mohamad Fauzi Ismail, Ketua Pendaftar, Mohd Abu Hassan Abdullah, Hakim Mahkamah Rendah, Mohd Zaidi Abdullah dan Norzurairah Mat Yussof serta Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Nurul Wazeera Ahmad Dahalan. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor juga menyertai sesi mengadap ini.

Penyerahan cenderahati daripada pihak JKSNPs kepada Raja Muda Perlis.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.