12 November 2022, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) yang berasal dari Pattani, Thailand, iaitu Najwa Norji telah dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor (Martabat al-Syaraf al-Ula) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dalam Istiadat Konvokesyen Ke-5 Kolej Universiti berkenaan hari ini.

Beliau yang sudah pun bekerja di Bangkok merupakan pelajar bertuah yang menerima biasiswa penuh daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sepanjang tempoh pengajian beliau di sini.

Majlis pada kali ini melibatkan seramai 133 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 149 graduan diploma menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs disambut oleh Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle serta Ahli Lembaga KUIPs Sdn. Bhd. dan juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti.

Dalam ucapan baginda, Tuanku Raja Muda bertitah, “Bagi menghadapi persekitaran yang semakin kompleks, mahasiswa abad ke-21 mesti memperkukuh diri dengan lima perkara yang turut sepadan dengan beberapa ciri yang digariskan sebagai Kemahiran Unggul oleh Forum Ekonomi Dunia. Lima perkara tersebut ialah mahir menyelesaikan masalah yang kompleks, mahir sebagai pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan, mahir berkomunikasi secara lisan dan bertulis, memiliki kepintaran emosi, dan memiliki nilai integriti dan moral terpuji.”

Baginda berharap agar mahasiswa KUIPs terutamanya, mesti lebih sedar dan merebut peluang yang luas selama dua hingga empat tahun di kolej universiti yang memegang moto “Syumul, Takwa dan Dinamik” ini untuk mempersiapkan diri dalam mentransformasikan minda graduan supaya berubah daripada pencari pekerjaan (job-seeker) kepada pencipta pekerjaan (job-creator).

“Transformasi ini selari dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang meletakkan agar mahasiswa dilahirkan itu bersifat holistik, menyeluruh, berciri keusahawanan dan relevan dengan cabaran globalisasi,” titah baginda.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.