13 Oktober 2022, 23:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan sistem pendaftaran haji terbuka sedia ada berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” telah dilaksanakan sejak tahun 1985 lagi.

“Melalui sistem pendaftaran terbuka ini, para pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1300. Setiap pendeposit yang telah mendaftar akan diberikan giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat,” kata TH dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pihak TH juga berkata kini seramai 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. Kuota haji Malaysia dan lain-lain negara dalam Pertubuhan Negara-negara Islam OIC (Organisation of Islamic Cooperation) adalah pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara. Hingga kenyataan ini dikeluarkan, Kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan kuota haji rasmi dan syarat pemilihan bakal jemaah haji untuk musim haji 1444 Hijrah.

Keutamaan musim haji bagi tahun hadapan, iaitu 2023 akan diberikan kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada tahun 2020, diikuti 2021, 2022 dan seterusnya mengikut prinsip sistem pendaftaran sedia ada disebabkan penangguhan ibadat haji untuk rakyat Malaysia kerana pandemik COVID-19 selama dua tahun.

Pada setiap musim haji akan berlakunya kekosongan disebabkan permohonan untuk menangguh giliran haji atas pelbagai sebab seperti kesihatan dan pendidikan anak, dan akan diisi dengan senarai jemaah yang menunggu atau pertimbangan diberikan kepada mereka yang membuat permohonan rayuan. Pemilihan rayuan haji dilakukan berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram diberikan keutamaan.

Berdasarkan Visi 2030 Kerajaan Arab Saudi, jumlah jemaah haji disasarkan untuk meningkat kepada 5.4 juta menjelang tahun 2030. Oleh hal yang demikian, TH juga optimis jumlah jemaah haji negara akan meningkat, dan ini akan membolehkan masa menunggu tunai haji dapat dipendekkan.

TH sentiasa komited untuk menambah baik proses demi kepentingan pendeposit dan jemaah. Umat Islam dan orang ramai dialu-alukan untuk memberikan cadangan dan pandangan dalam usaha menambah baik perkhidmatan dan memastikan TH kekal kukuh demi kepentingan para pendeposit dan jemaah haji pada masa yang akan datang.

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan isu kebimbangan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkenaan isu tempoh giliran menunggu yang begitu panjang sehingga mencecah 130 tahun bagi para pendeposit TH yang telah mendaftar  untuk menunaikan haji.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.