14 April 2022, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat meraikan lebih 200 tetamu dalam majlis berbuka puasa di Dewan Bankuasi, Istana Arau, semalam. Yang turut berangkat dalam majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Sebelum itu, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik penganugerahan Bantuan Peruntukan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 35 buah Institusi Pendidikan Islam seluruh Perlis bagi tahun 2022 berjumlah RM39 095 466. DYMM Tuanku Tengku Fauziah pula berkenan menganugerahkan sumbangan kepada 39 orang anak yatim dan warga emas terpilih yang hadir.

DYMM Tuanku Raja dan DYMM Tuanku Raja Perempuan turut meraikan hari ulang tahun ke-13 cucunda baginda berdua, iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra yang telah diputerakan pada 12 April 2009 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dengan acara memotong kek. Bacaan doa kesyukuran dipimpin oleh Ustaz Ahmad Sirajuddin dengan harapan semoga Syed Sirajuddin Areeb Putra terus dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup, dimurahkan rezeki serta dalam peliharaan oleh Allah SWT sentiasa.

 

Majlis berkenaan turut dihadiri tetamu undangan dalam kalangan pemimpin negeri, ketua jabatan negeri dan Persekutuan, anak yatim dan warga emas daripada beberapa buah rumah kebajikan serta mantan kakitangan Istana Arau. Majlis dimulakan dengan majlis berbuka puasa yang disusuli dengan solat maghrib, tazkirah oleh Mufti Perlis, YBhg. Dato Arif Perkasa Dr .Mohd Asri Zainul Abidin serta solat isyak dan tarawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri,  al-Fadhil Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.