Oleh Fansurina Ramli
14 April 2022, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Antara kelebihan bulan Ramadan yang sering disebut adalah melatih kesabaran dalam kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun, bagaimanakah bulan Ramadan boleh melatih sifat integriti dalam diri?

Perkara ini telah dikupas oleh penceramah selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dalam Kuliah Intergriti Siri 2 (2022) dengan tajuk “Dekatnya Dikau, Jauhnya Aku”. Sesi kuliah ini merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Berhad bersama-sama Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah berlangsung selama dua jam secara dalam talian melalui saluran Youtube Unit Integriti KPM, semalam.

Sikap integriti ketika menjalani ibadah puasa seperti contoh situasi ini. Anda pulang ke rumah seorang diri. Pada waktu itu, jam menunjukkan pukul 7.10 malam. Waktu berbuka puasa pula ialah pada 7.20 malam. Dalam keadaan dahaga, lapar dan kepenatan, ditambah pula dengan ketiadaan orang lain di rumah, adakah anda akan berbuka puasa tanpa menunggu azan Maghrib?

Persoalan yang dikemukakan oleh penceramah kepada khalayak yang mengikuti kuliah itu mempunyai jawapan yang jelas, iaitu sebagai umat Islam yang memiliki integriti, kita tidak akan berbuka puasa kerana memahami konsep dosa dan pahala di samping menurut perintah Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Selain itu, menyentuh tajuk kuliah “Dekatnya Dikau, Jauhnya Aku”, Ustaz Syed Norhisyam telah membacakan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang menyatakan tentang kewajipan berpuasa bagi umat Islam. Ditekankan pula pada ayat susulan, iaitu pada ayat 186:

Maksudnya: β€œDan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Ulama tafsir menyatakan bahawa ayat ini memberikan isyarat tentang amalan yang digalakkan dalam bulan puasa ialah amalan berdoa. Oleh sebab itu, kita disarankan agar tidak melepaskan peluang untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT pada bulan yang mulia ini.

Tambah Ustaz Syed Norhisyam lagi, antara sebab utama doa tidak dimakbulkan termasuklah:

  • Sikap gopoh ketika berdoa, iaitu melahirkan sungutan kepada Allah SWT secara tidak langsung seperti mempersoalkan sebab Allah SWT tidak memberikan perkara yang diminta.
  • Makan dan minum dari sumber yang haram, iaitu secara lahiriahnya, mengambil makanan atau minuman yang dilarang Allah SWT seperti arak dan binatang yang tidak disembelih; atau secara harfiahnya, menggunakan pendapatan yang haram seperti hasil rasuah dalam kehidupan.

Beliau mengakhiri kuliah dengan berpesan agar mengamalkan sikap integriti terutamanya dalam melaksanakan tugas di tempat kerja. Hal ini dikatakan demikian kerana perkara ini bukan sahaja mempengaruhi kemakbulan doa yang dipanjatkan malah memberikan kesan kepada keberkatan hidup.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.