Oleh Syaza Wardina
8 Jun 2023, 19:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menerima sembah mengadap oleh Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Haji Mohd Amran Haji Mat Zain, semalam.

Sepang – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, seseorang hakim syarie wajib dan mesti menjunjung tinggi prinsip integriti dalam setiap tindak-tanduk.

Integriti bermaksud melakukan perkara yang betul dan sahih, walaupun tiada insan lain yang melihat.

“Hakim syarie juga haruslah menjaga etika sebagai seorang hakim dan yang paling penting adalah untuk mengelakkan apa-apa tohmahan oleh masyarakat.

“Pada masa yang sama, gunalah budi bicara hakim syarie dengan penuh hikmah supaya sistem perundangan dan kehakiman syariah sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat,” titah baginda ketika berkenan menerima sembah mengadap oleh Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Haji Mohd Amran Haji Mat Zain, semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Datuk Haji Mohd Amran diiringi oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang juga Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perlis, Datuk Mohd Shukor Sabudin dan Datuk Mohamad Shakir Haji Abdul Hamid serta Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Mohd Abu Hassan Abdullah.

Turut hadir ialah Mufti Negeri Perlis, Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.