14 April 2023, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah turunkan (al-Quran) pada lailatulqadar. Tahukah kamu apakah lailatulqadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah al-Qadr 97:1-3)

Begitu pantas masa berlalu. Hari ini, kita sudah berada pada minggu terakhir dan dalam fasa 10 hari terakhir Ramadan.

 

Kelebihan 10 hari terakhir Ramadan

Ayat 1 hingga 3 Surah al-Qadr menceritakan tentang lailatulqadar dan kelebihannya yang melebihi 1000 bulan. Lailatulqadar ialah malam kemuliaan dan kebesaran; malam istimewa yang berlaku hanya pada bulan Ramadan.

Amal ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia ini lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dilakukan pada seribu bulan yang lain. Oleh sebab itu, satu hadis yang sahih menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW, biasanya bermula pada malam ke-21 Ramadan, Baginda membanyakkan amal ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya itu bertepatan dengan lailatulqadar yang berkat, yang berlakunya pada satu malam daripada sepuluh atau sembilan malam yang akhir pada bulan Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Carilah lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir, pada malam yang ganjil.

(Hadis Riwayat Ahmad)

Ringkasnya, 10 malam terakhir Ramadan merupakan hadiah Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW yang tidak patut kita lepaskan. Beramal pada malam tersebut, dinisbahkan seolah-olah beramal selama lebih kurang 83 tahun, dan dijanjikan pengampunan dosa kita yang telah lalu.

Umm al-mukminin Aisyah r.a. meriwayatkan perlakuan Nabi Muhammad SAW apabila saat datangnya 10 hari terakhir Ramadan yang bermaksud, “Bahawasanya Nabi SAW apabila masuk hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain (tidak menggauli isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan hadiah Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW yang tidak sewajarnya kita lepaskan.

 

Memanfaatkan sebaik-baiknya hari-hari terakhir Ramadan

Alhamdulillah, telah 22 hari kita menyempurnakan puasa dan pada hari ini, kita masih diberikan usia dan kesihatan untuk melangkah memasuki hari ke-23 Ramadan. Semoga kita terus diberikan usia dan kesihatan yang baik untuk menyempurnakan sebulan puasa dan berpeluang menyambut Syawal.

Pada saat berada pada penghujung Ramadan ini, sewajarnya kita menginsafi kemungkinan Ramadan ini merupakan Ramadan kita yang terakhir. Oleh itu, marilah kita bermuhasabah. Adakah pada hari-hari Ramadan yang telah berlalu, kita telah sempurnakan ibadat puasa dengan sebaik-baiknya? Adakah ruang dan peluang beramal dalam bulan mulia ini, telah kita manfaatkan dengan sebaik-baik amal? Sudahkah kita melakukan sebaik-baik usaha dalam bulan yang penuh berkat ini untuk mendapatkan keampunan Ilahi? Adakah amalan puasa telah meningkatkan keinsafan kita untuk membantu golongan miskin dengan memperbanyak sedekah dan menghentikan amalan boros dalam berbelanja?

Andai kata Ramadan ini merupakan Ramadan terakhir kita, alangkah rugi, jika kita mensia-siakan peluang untuk mendapat ihsan keampunan Ilahi. Oleh itu, tingkatkan amalan kita, bertaubat dan perbanyakkan istighfar. Dampingkan diri kita agar lebih rapat dengan Allah SWT dalam tujuh hari terakhir Ramadan ini. Anggaplah ini Ramadan terakhir yang memberikan peluang keemasan untuk kita mendapat pengampunan.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Amat rugilah orang yang memasuki bulan Ramadan tetapi akhirnya (Ramadan berlalu), sedangkan dia tidak mendapat pengampunan Allah.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Perbanyakkan memohon keampunan Allah SWT terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan.

Berpandukan hadis ini, dapat kita fahami bahawa Ramadan ialah hadiah Allah yang sangat besar yang menjadi asbab pengampunan-Nya atas ketelanjuran dosa yang telah kita lakukan. Maka itu, kita wajib berusaha untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan oleh Allah SWT dengan bertaubat, meningkatkan amal, melakukan pelbagai kebajikan dan memperbanyak sedekah.

Dalam melalui tujuh hari terakhir Ramadan, umat Islam disarankan dengan enam perkara berikut:

  • Pertama: Memperingatkan diri bahawa kita masih berada dalam bulan yang dilimpahi segala kebaikan; dengan menjaga solat lima waktu, sebaik-baiknya berjemaah di masjid; memelihara amalan puasa daripada perkara yang mengurangkan pahala; berqiamullail dengan bersolat tarawih dan witir, dilengkapi dengan solat taubat, solat istikharah, solat hajat, solat tahajud, dan solat tasbih; melazimkan al-Quran dan mengkhatamkannya dan jangan lepaskan peluang beriktikaf di masjid.
  • Kedua: Memohon keampunan Ilahi dengan membanyakkan istighfar dengan rasa insaf dan kesal atas segala dosa, kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan dan memohon agar Allah SWT melindungi dan menjauhi kita daripada mengulangi melakukan dosa yang lalu.
  • Ketiga: Menunjukkan tanda syukur akan nikmat rezeki kurniaan Ilahi dengan menunaikan zakat, wakaf, infak dan sedekah yang akan menambah berkat ke atas diri dan harta kita.
  • Keempat: Menghindari amalan membazir dan boros.
  • Kelima: Menyantuni ibu bapa (lebih-lebih lagi yang telah uzur dan lanjut usia), muliakan mereka, dan belailah mereka dengan kesabaran dan kasih sayang sebagaimana mereka membelai kita semasa kecil kerana ibu bapa juga antara asbab terbesar yang membolehkan kita mendapat pengampunan dan syurga Ilahi. Dipohonkan doa keampunan dan kerahmatan atas roh ibu bapa yang telah pergi meninggalkan kita.
  • Keenam: Menghindari diri daripada ditenggelami keghairahan menyambut Syawal, sampai melupai keberkatan yang terkandung pada penghujung Ramadan; kurang beradab sifatnya, jika tetamu yang belum pulang (iaitu Ramadan) seolah-olah tidak lagi dimuliakan kerana ghairah dengan hari raya yang bakal menjelang.

Semoga Ramadan pada kali ini berupaya menjadikan kita hamba Allah yang bertakwa, yang diampuni segala dosa dan dilimpahi hidup berkat yang berjaya menemui sirat al-mustaqim.

Pada hari-hari terakhir Ramadan, umat Islam disarankan agar melazimkan bacaan dan tadabur al-Quran.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada aqidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Berkatilah kami pada bulan Ramadan, dapatlah kami ditemukan dengan lailatulqadar, dan berilah kekuatan untuk kami menghidupkannya dengan amal kebaikan. Ampunilah segala dosa kami, dosa ibu bapa kami, dosa guru-guru kami, dan dosa seluruh umat, Muslimin dan Muslimat.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhkan negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 14 April 2023, bertajuk “Andainya ini Ramadan Terakhir”).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.