17 April 2023, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UKMKL) menjayakan aktiviti tadarus al-Quran sepanjang Ramadan 1444H.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dr. Suzana Shahar berucap merasmikan Program Majlis Khatam al-Quran FSK UKMKL 2023, baru-baru ini.

Menurut Dekan FSK UKMKL, Profesor Dr. Suzana Shahar, program tadarus ini secara rasminya telah dimulakan sejak tahun 2017, namun sebenarnya usaha ini telah dimulakan secara tidak rasmi di UKMKL lebih awal beberapa tahun sebelum itu.

“Program tadarus ini hanya bermula dengan pelibatan beberapa orang pensyarah di pejabat saya.

“Program ini seterusnya terus berkembang ke seluruh FSK. Alhamdulillah, kini majlis yang baik ini telah diteruskan pada setiap tahun,” katanya ketika merasmikan Program Khatam al-Quran FSK UKMKL 2023/1444H di UKMKL, Jalan Raja Muda Abdul Aziz Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program tadarus ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerohanian di bawah Unit Kebajikan dan Kesejahteraan, FSK, UKMKL yang menyasarkan warga UKMKL termasuk warga kerja dan mahasiswa.

Program tadarus pada kali ini telah dijayakan oleh 62 orang warga FSK yang terdiri daripada sembilan kumpulan termasuk wakil dari Pejabat Bendahari UKMKL.

Tadarus dijalankan secara hibrid, demi meraikan peserta yang tidak dapat hadir secara bersemuka.

Pengerusi Program Majlis Khatam al-Quran FSK UKMKL 2023, Profesor Madya Dr. Ismarulyusda Ishak menyampaikan kata alu-aluan kepada hadirin.

Sementara itu, Pengerusi Program Majlis Khatam al-Quran FSK UKMKL 2023, Profesor Madya Dr. Ismarulyusda Ishak berkata, majlis ini diadakan sebagai manifestasi kecintaan terhadap al-Quran.

Menurut beliau, “Bulan Ramadan ialah bulan al-Quran kerana padanya Allah SWT menurunkan al-Quran dan pada bulan ini jugalah, Nabi Muhammad SAW bertadarus dengan Jibril a.s.”

“Maka itu, menjadi sunah dan keutamaan bagi kita untuk bersama-sama menghidupkan Ramadan dengan meninggikan al-Quran.

“Moga-moga kita akan terus istiqamah membaca dan menghayati isi al-Quran, biarpun setelah berlalunya bulan Ramadan,” ujarnya.

Selain bacaan khatam al-Quran, program ini turut mengundang Dr. Wan Haslan Khairudin, Pengarah Pusat Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi bagi menyampaikan tazkirah yang bertajuk, “Ramadan Bulan Ibadat, Hidup ialah Ibadat”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.