12 April 2022, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Selari dengan peruntukan yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa Raja-Raja Melayu berkaitan Hal Ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu telah dinyatakan dalam jadual kesembilan Perlembagaan.”

Demikian titah Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika baginda berkenan berangkat menerima sembah mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Senator Datuk Idris Ahmad di Kangar pada malam semalam. Baginda bertitah bahawa negeri Perlis buat masa ini masih kekal menyertai Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) namun tidak terikat kepada sebarang keputusan yang dikeluarkan sama ada dari sudut pengurusan atau muzakarah yang dikeluarkan.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Mufti Perlis, YBhg. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam hubungan itu, DYTM Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa pihak MAIPs sentiasa mengutamakan prinsip syura dan adab dalam setiap tindakannya serta meneliti dengan hikmah sewajarnya sebelum berunding dan memutuskan sesuatu keputusan dasar hal ehwal Islam di negeri Perlis.

Selari dengan peranan MAIPs yang membantu menasihati DYMM Tuanku Raja Pemerintah dalam hal ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu, MAIPs sentiasa komited menjalankan tugas murni ini, demi kemaslahatan dan kesejahteraan ummah,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.