3 April 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapannya agar semua warga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkhidmat dengan lebih maju ke hadapan serta dinamik sebagai usaha meningkatkan reputasi KUIPs sebagai sebuah universiti penuh tidak lama dalam sebuah majlis menerima mengadap Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar yang mempersembahkan surat Kelulusan Naik Taraf KUIPs kepada peringkat Universiti di Galeri DiRaja Arau pada Jumaat lalu.

Menurut baginda lagi, perubahan ke arah mentaliti kelas pertama dari segi pemikiran serta tindakan terutama sekali dalam aspek kesegeraan kerja perlu dilaksanakan dengan matlamat untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan yang tinggi sebagai “warga universiti”. Dalam majlis tersebut, Dato’ Prof. Dr. Husaini diiringi oleh Pengarah Bahagian Standard Swasta JPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood dan Penolong Pengarah JPT Nabil Muzhaffar Amir Hamzah. Yang turut hadir dalam majlis sembah mengadap tersebut termasuklah Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Rektor, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Baginda yang juga merupakan Tuanku Canselor KUIPs mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Pengarah dan Pengarah Bahagian Standard Swasta yang telah meluluskan permohonan daripada KUIPs untuk penarafan sebagai sebuah universiti. Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), seluruh warga KUIPs sendiri termasuk mantan rektor serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sehingga mencapai tahap universiti ini dan turut mendoakan agar segala usaha serta inisiatif dalam membawa imej termasuklah nama baik KUIPs akan sentiasa dilimpahkan rahmat, diredai dan diberkati oleh Allah SWT.

Tuanku Raja Muda  juga berharap KUIPs akan berusaha memartabatkan Pendidikan Islam bukan sahaja di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa kerana hala tuju KUIPs turut menekankan keterlihatan antarabangsa dalam aspek pengambilan pelajar, penyelidikan, perundingan dan penganjuran seminar serta persidangan pada peringkat antarabangsa

Hal ini selari dengan perancangan strategik KUIPs 2025 untuk menjadi sebuah Universiti Islam yang kompetitif pada peringkat Asia Tenggara dan menjadi Universiti Islam terkemuka serta terunggul pada peringkat Asia menjelang tahun 2035. Penarafan universiti ini juga diharap dapat meningkatkan lagi reputasi universiti supaya lebih berdaya saing dengan memberikan fokus terhadap bidang tujahan berteraskan Islam dan ketamadunan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!