12 Mac 2022, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – “Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa optimis untuk melahirkan generasi terbaik dengan memiliki nilai tambah, personaliti hebat, mendapat tempat dan dekat dengan masyarakat, serta menjadi pemimpin masyarakat pada kemudian hari.

“Mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang, tetapi juga menjadi orang yang bermanfaat seperti imam, bilal dan khatib,” kata Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Ismail Ishak pada Majlis Apresiasi Kursus Profesionalisme Imam Bilal 2021 di Dewan Seminar Pusat Islam UUM, baru-baru ini.

Menurutnya, peserta kursus yang terdiri daripada pelajar itu memiliki pengetahuan agama yang luas seperti pernah menjadi imam dan bilal, mahir membaca al-Quran dan berjaya menghabiskan kursus selama 10 minggu dengan bimbingan tenaga pengajar dalam kalangan kakitangan Pusat Islam.

Katanya,  dengan menyertai bengkel ini peserta ada keberanian untuk tampil ke hadapan tanpa segan silu. Dengan berbekalkan ilmu dimiliki, barulah mereka dapat melunaskan tanggungjawab yang besar sebagai imam.

Peserta yang berjaya menghabiskan kursus selama 10 minggu diraikan pada Majlis Apresiasi Kursus Profesionalisme Imam Bilal 2021 di Dewan Seminar Pusat Islam UUM, baru-baru ini.

“Kursus Profesionalisme Imam Bilal 2021 ini diadakan adalah untuk memberikan didikan bagi melahirkan manusia yang mempunyai kualiti dalam profesionalisme imam dan bilal, di samping mencungkil bakat muda dalam kalangan pelajar UUM dalam bidang kerjaya sebagai seorang imam dan bilal.

“Usaha untuk memantapkan ilmu dan kemahiran insaniah perlu ada dalam diri seseorang pelajar. Oleh itu, saya mengharapkan ilmu yang diperoleh ini diguna pakai pada bila-bila masa khususnya apabila berada dalam masyarakat. Contohnya apabila orang meminta kita menjadi imam, kita melangkah dengan penuh yakin.

“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada peserta sulung yang berjaya menamatkan kursus yang dianjurkan oleh Pusat Islam UUM,” katanya.

Dr. Ismail berkata, Pusat Islam juga bercadang mewujudkan Akademi Ulul Albab yang akan menggarap aspek teori dan praktikal. Dengan hal yang demikian, imam dan bilal dapat mempraktikkan diri untuk menjadi khatib dan sebagainya.

Peserta Terbaik Kursus Profesionalisme Imam dan Bilal, Abdul Haziq Abd Kongid.

Pada majlis itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi, Abdul Haziq Abd Kongid muncul sebagai Peserta Terbaik Kursus Profesionalisme Imam dan Bilal 2021.

“Alhamdulillah, kejutan yang tidak disangka-sangka apabila saya diumumkan sebagai peserta terbaik kerana ramai lagi yang jauh lebih hebat. Pada saya kejayaan ini bukan satu tiket untuk membangga diri, tetapi merupakan satu amanah untuk terus menimba dan mendalami ilmu sebagai imam dan bilal.

“Kelas ini banyak mengajar peserta tentang pelbagai aspek seperti fiqah, bacaan al-Quran dan hafazan, fiqah wanita, tauhid, akidah dan sembahyang sunat, malah ilmu tidak terhenti di sini kerana banyak lagi ilmu yang perlu dituntut,” katanya.

Sumber foto: Pusat Islam, UUM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.