Oleh Aninah Janang
23 Disember 2021, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Women In Search of Excellence (WISE) yang bertajuk “Women In Entrepreneurship” pada pagi ini.

Webinar yang diadakan pada setiap bulan ini merupakan siri keempat dan penganjurannya pada kali di bawah kelolaan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama YTF. Majlis penutupan pula akan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah.

Ketika bertitah, Raja Muda Perlis menerangkan bahawa terdapat pelbagai program yang dianjurkan bertujuan untuk membantu usahawan wanita menguruskan perniagaan mereka dengan baik dan terancang. Antaranya, program Development of Women Entrepreneurship Initiative (DEWI); program Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KEUNITA); dan program Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KIT).

“Program sebegini sememangnya sangat membantu usahawan wanita dalam usaha memajukan lagi perniagaan mereka,” titah baginda.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada pertubuhan yang turut membantu usahawan wanita di negara, antaranya, Mykasih Kapital, Skim Pembiayaan Mikro Pemerkasa-NITA, DanaNITA Tekun Nasional dan banyak lagi.

Raja Muda Perlis turut menyentuh tentang perkembangan mutakhir ini apabila semakin ramai golongan wanita yang  berjaya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan di negara ini. Hal ini titah baginda banyak dipacu dengan  perkembangan teknologi semasa, iaitu maklumat di hujung jari yang membolehkan rakyat lebih banyak memilih untuk bermuamalat melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Perkembangan ini menurut baginda membolehkan usahawan wanita tidak lagi berhadapan dengan masalah, khususnya mengabaikan tanggungjawab dalam hal rumah tangga. Baginda juga begitu menghargai dan mengagumi usaha wanita di negara ini yang berusaha membantu suami dan keluarga bagi meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Tambah Raja Muda Perlis lagi, sesungguhnya ramai usahawan wanita di negara ini mengecap kejayaan yang membanggakan dalam menjalankan perniagaan dengan mempunyai produk sendiri yang berjaya menembusi pasaran besar di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.